Ustaz Moden’s Weblog

Laman interaksi menawan hati

TV Islam akan diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia untuk kita !!!

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 19 Jun – Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam hari ini bersetuju supaya diwujudkan satu saluran televisyen Islam bagi menampung keperluan dan permintaan siaran program-program berbentuk kekeluargaan, sosial, budaya serta ekonomi yang mencakupi tuntutan syariat.

Perkara itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak serta dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, mesyuarat akur bahawa banyak perkara dalam Islam bukan sahaja perlu disalurkan menerusi media malah maklumat dan faktanya harus tepat serta difahami khalayak.

”Contohnya berkenaan Baitul Mal yang mana kita mahu umat Islam membayar zakat tetapi pada masa sama juga kita mahu khalayak mengetahui menerusi media elektronik ini ke mana wang zakat itu disalurkan.

”Kita juga mahu mempertontonkan produk yang ditawarkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dalam memberi pinjaman kecil-kecilan, namun liputan mengenainya tidak menyeluruh turun ke bawah. Hal yang sama dengan siaran radio IKIM yang mencatat rating tertinggi yang akan diperluaskan skopnya dalam saluran televisyen Islam itu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Jamil Khir berkata, rangkaian televisyen Islam itu nanti berupaya menjadi pilihan untuk umat Islam negara ini memperoleh maklumat tepat mengenai sesuatu perkara yang menyentuh syariat Islam.

”Kita tidak mahu program-program yang bertentangan dengan adat susila, agama serta budaya rakyat Malaysia ditayangkan kepada umat Islam.

”Dengan itu nanti akhirnya akan tercapailah matlamat Islam itu sebagai cara hidup,” katanya.

http://www.utusan.com.my/

June 20, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 2 Comments

SPM: Kepentingan pelajar SMA diambil kira – Muhyidin Yassin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan kerajaan akan tetap mengambil kira kepentingan pelajar sekolah menengah agama (SMA) dalam mengehadkan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Timbalan Perdana Menteri, berkata ruang untuk pelajar berkenaan masih terbuka dan perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan dilaksanakan bagi mencari penyelesaian terbaik. 

“Kita akan beri ruang kepada pelajar sekolah menengah agama yang mengambil mata pelajaran sains dan agama. Kita masih menerima pandangan berhubung perkara ini… bukan bermakna kita akan teruskan pelaksanaannya selepas membuat keputusan mengenainya.

 

“Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sudah diarah berbincang dengan pentadbir dan pihak bertanggungjawab mengenai agama bagi menguruskan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama di Kongres Dewan Perniagaan Dunia (WCC) ke-6, serta perasmian Pameran Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidex) 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, petang ini. 

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengulas kebimbangan ibu bapa dan pelajar aliran agama mengenai kekangan untuk mengambil mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka berikutan keputusan Kementerian Pelajaran mengehadkan pengambilan maksimum 10 subjek dalam SPM yang diumumkan Muhyiddin minggu lalu.

June 4, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 2 Comments

Mogok Lapar Bertentangan dengan Islam – Mufti

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR dan FADZILAH BAHARUDIN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Mei – Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhi kempen mogok lapar kerana ia tidak wujud dalam Islam dan bertentangan dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak Islamiah.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut berkata, mogok lapar bercanggah dengan al- Quran, sunnah, ijmak ulama, qias dan sumber perundangan Islam yang lain.

Jelasnya, sebarang perkara yang boleh membawa kemudaratan kepada nyawa, akal, minda, harta dan keluarga adalah haram di sisi Islam.

“Andai kata seseorang yang mogok lapar itu meninggal dunia, maka ia seolah-olah membunuh diri sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula esok selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Noh Gadut yang juga bekas Mufti Johor berkata, mogok lapar ditunjangi oleh kehendak perasaan dan hawa nafsu serta sama sekali bertentangan dengan konsep kemanusiaan dalam Islam.

Tambahnya, orang yang mogok lapar sama seperti golongan yang berputus asa dalam perjuangannya sedangkan Islam melarang umatnya berbuat demikian.

“Mogok lapar berbeza dengan puasa. Dalam Islam, puasa bertujuan menahan diri hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ini termasuk puasa wajib, sunat dan nazar,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang Islam di negara ini supaya bertenang dan percaya kepada qada dan qadar Allah kerana setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

“Percaya kepada qada dan qadar merupakan salah satu daripada Rukun Iman. Dalam Rukun Iman, sekiranya kita menolak salah satu daripadanya, maka terbatallah kesemuanya.

“Dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud janganlah kamu mencampakkan diri dalam kebinasaan. Maka sesungguhnya seseorang itu tidak boleh melakukan perkara tersebut kepada dirinya dan juga orang lain kerana ia boleh menjejaskan kesihatan,” ujar beliau.

Terdahulu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Samsudin menegaskan orang Islam sama sekali diharamkan daripada terlibat dalam mogok lapar walaupun bertujuan memberi sokongan kerana mereka wajib menjaga nyawa sendiri.

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu mereka yang menyertai kempen mogok lapar anjuran pakatan pembangkang esok melakukannya hingga mati sebagai seorang pahlawan demokrasi.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali dalam nada yang sinis berkata, pihak terlibat hanya mahu mencari publisiti murahan dan berharap pihak media tidak memberi ruang kepada mereka.

Beliau yang kesal dengan tindakan tersebut berkata, tindakan pakatan pembangkang itu hanya akan mencemarkan imej negara.

“Kita mengalu-alukan tindakan mereka. Tetapi jika mereka mahu buat mogok lapar, pastikan mereka buat sampai mati. Nanti kita akan tabur bunga kepada mereka sebagai pahlawan demokrasi,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lihat laporan asal di Utusan Malaysia

May 26, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 1 Comment

Mari kita berdoa dijauhkan diri,keluarga dan negara dari segala bala bencana !!!

gambar hiasan : http://ayu-rosputih.blog.friendster.com/

 

Artikel ini dipetik dari sebuah blog bernama Ahmad As Syazuli (http://sufi303.multiply.com/ )

 

Setiap manusia, pasti melalui suatu masa yang dikenali dengan MUSIBAH atau masa KESULITAN. Kehidupan seseorang manusia tidak terlepas dari kesusahan, kesulitan, musibah dan sebagainya. Kadang kala, ia menyebabkan seseorang putus-asa dan ada juga yang sampai sanggup untuk membunuh diri dan sebagainya, hasil dari kekecewaan yang menimpa mereka dari kesulitan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan.

 

Namun, jika musibah dan kesulitan ditafsirkan dengan tafsiran yang sempurna, ianya tidak akan membuatkan seseorang putus-asa tetapi sebaliknya ia mampu memberi suatu kekuatan baru kepada seseorang, dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.

 

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. (Al-Ankabut: 2-3)

 

            Berdasarkan ayat-ayat tersebut, didapati bahawa, seseorang yang mengaku beriman, pasti akan diuji oleh Allah s.w.t., sehingga terbukti samada seseorang itu benar-benar beriman atau berdusta dalam mengaku beriman.

 

            Dalam kitab-kitab hadis juga, banyak menukilkan tentang hadis-hadis yang menyebutkan tentang ujian Allah s.w.t. terhadap para hamba-Nya.

 

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Golongan yang paling kuat diuji dengan bala adalah golongan para Nabi, kemudian golongan yang mengikuti mereka dan seterusnya“.

 

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Sesungguhnya, jika Allah s.w.t. mencintai sesuatu kaum, maka mereka akan diuji. Andainya mereka redha dengan ujian tersebut, maka baginya keredhaan Allah s.w.t…

 

Jika kita lihat dalam lipatan sejarah, kita dapati bahawa, Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia yang paling dikasihi Allah s.w.t. sendiri, diuji dengan pelbagai ujian, termasuklah dibaling dengan batu, dilempar dengan najis dan kotoran, dan sebagainya. Begitu juga dengan para Nabi yang lain, seperti Nabi Zakaria a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Ayub a.s., dan selain dari mereka.

 

Persoalannya, apakah rahsia di sebalik ujian-ujian Allah s.w.t. terhadap para kekasih-Nya?

 

Rahsia Umum di Sebalik Musibah dari Allah s.w.t.

 

Para sufi dan ahli makrifah telahpun menjelaskan kepada kita, hakikat sebenar di sebalik ujian-ujian dan musibah yang menimpa seseorang muslim.

 

Secara umumnya, Allah s.w.t. menimpakan bala dan musibah kepada seseorang kerana tiga sebab, sesuai dengan jenis orang yang ditimpa musibah tersebut.

 

Pertama: Andainya Allah s.w.t. menimpakan musibah dan bala kepada golongan musuh Allah s.w.t., dan golongan yang bersikap sombong dengan Allah s.w.t., dari kalangan orang-orang kafir dan golongan fasiq, maka ia merupakan suatu bentuk azab dan siksaan dari Allah s.w.t. yang dikenakan kepada mereka di dunia lagi.

 

Kedua: Andainya Allah s.w.t. menurunkan musibah kepada orang-orang mu’min yang kurang beradab di hadapan Allah s.w.t., dengan melakukan pelbagai maksiat, maka ia merupakan peringatan buat mereka supaya mereka kembali kepada Allah s.w.t., dan kembali beradab di hadrat Ilahi s.w.t. dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Ia merupakan suatu kenikmatan dalam kesulitan.

 

Ketiga: Andainya Allah s.w.t. memberi musibah kepada golongan khawas (orang-orang soleh) atau golongan khawasul-khawas di kalangan hamba-Nya, yang sentiasa menjaga adab dengan Allah s.w.t., maka musibah tersebut merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat mereka di sisi Allah s.w.t., dengan kesabaran mereka.

 

Ujian dan Musibah dalam Kaca Mata Sufi

 

Adapun para sufi menegaskan bahawa, ujian dan musibah merupakan suatu “ta’aruf” atau perkenalan dari Allah s.w.t., di mana setiap kali Allah s.w.t. menguji seseorang hamba tersebut, bererti Dia memperkenalkan diri-Nya kepada para hamba-Nya disamping menilai bagaimana hamba tersebut memperkenalkan dirinya kepada-Nya.

 

Ujian dari Allah s.w.t. ada dua jenis iaitu:

 

Pertama: Ujian berbentuk Musibah. Ujian ini merupakan suatu bentuk kesusahan yang ditimpakan ke atas manusia seperti kematian, kehilangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagianya.

 

Dalam bentuk ujian ini, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya dengan sifat-sifatjalal-Nya (sifat-sifat keagungan-Nya) di mana pada ketika itu, hamba-hamba-Nya akan mendapati bahawa, Allah s.w.t. Maha Berkuasa dan hanya kepada Allahlah, tempat mengadu segala masalah, kerana hanya Dialah yang Maha Membantu dan sebaik-baik Penolong.

 

Dalam kondisi ini, seseorang hamba yang jujur dalam Ubudiyahnya (pengabdiannya) akan memperkenalkan dirinya kepada Allah s.w.t., sebagai seorang hamba-Nya yang sabar. Maka, ketika diuji dengan musibah, seseorang hamba dapat meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t. dengan kesabarannya, di mana setiap kali dia sabar dalam ujian, maka setingkat demi setingkat darjatnya semakin meningkat di sisi Allah s.w.t., di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t. dengan izin-Nya..

 

Di samping itu juga, seseorang hamba yang diuji dengan musibah, perlu redhodengan setiap suratan dan ketentuan Allah s.w.t., yang menimpanya, dan sebagai balasan, Allah s.w.t. juga akan meredhai hamba-Nya yang redha dengan ketetapan-Nya, dengan izin Allah s.w.t..

 

Hamba yang diuji dengan musibah juga perlulah sentiasa merenung diri sendiri, dan bermuhasabah, kerana boleh jadi, musibah tersebut merupakan natijah dari dosa-dosa dan maksiat yang dikerjakannya, di samping bertaubat dari sebarang kesilapan dan dosa. Inilah adab seseorang hamba yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan Allah s.w.t.

 

Kedua: Ujian berbentuk Kesenangan. Allah s.w.t. juga turut menguji para hamba-Nya dengan nikmat kesenangan, seperti kekayaan, banyak zuriat, kedudukan, dan sebagainya.

 

Dalam ujian berbentuk kesenangan tersebut, Allah s.w.t. memperkenalkan diri-Nya kepada hama-hamba-Nya yang mendapat kesenangan tersebut, dengan sifat-sifatJamal-Nya (sifat-sifat kecantikkan dan keindahan-Nya), di mana hamba-hamba-Nya akan dapati pada kondisi tersebut, bahawa mereka mempunyai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mulia.

 

Adapun hamba-hamba yang menerima kesenangan pula, hendaklah baginya memperkenalkan diri mereka sebagai hamba-hamba yang bersyukur, kerana dalam keadaan kesenangan, kesyukuran merupakan  pintu-pintu untuk meningkatkan darjatnya di sisi Allah s.w.t.. Mereka hendaklah sentiasa mengingati bahawa, setiap nikmat tersebut datang dari Allah s.w.t., dan tidak lupa diri, dengan menyangka bahawa, merekalah sebenarnya yang menyebabkan kesenangan tersebut, kerana ia merupakan sikap biadab di hadapan Allah s.w.t.

 

Hamba-hamba yang dianugerahkan nikmat hendaklah berterima kasih kepada Allah s.w.t., di samping tidak merasa bangga dengan apa yang diterimanya. Mereka juga perlulah mengingatkan diri mereka, bahawa, boleh jadi nikmat yang Allah s.w.t. berikan kepada mereka merupakan suatu istidraj (tipu daya yang menyebabkan seseorang lebih jauh dari Allah s.w.t.) supaya mereka sentiasa meminta ampun dari Allah s.w.t. dan bersikap merendah diri di hadapan Allah s.w.t.

 

Apabila seseorang hamba itu berterima kasih, maka Allah s.w.t. akan meningkatkan darjat dan kedudukannya di sisi-Nya, di samping menambahkan lagi kenikmatan-kenikmatan yang telahpun diperolehinya.

 

Kesimpulannya, seluruh yang berlaku dalam kehidupan manusia merupakan ujian dari Allah s.w.t., samada dalam bentuk kesenangan atau dalam bentuk musibah. Apa yang penting, seseorang hamba yang memahami rahsia di sebalik ujian tersebut, maka dia perlulah sentiasa beradab dengan Allah s.w.t., samada di waktu susah atau senang, dengan kesabaran dan kesyukuran, kerana ianya merupakan pintu-pintu untuk meningkatkan darjat seseorang hamba di sisi Allah s.w.t.

May 24, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 1 Comment

Fatwa Nik Aziz : Halal Rasuah Diambil ?

Nik Aziz dilaporkan berfatwa politik di sini bahawa boleh diambil duit rasuah..

Apakah sudah berubah fatwa tentang rasuah yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w :

Daripada Abdillah bin Amru: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Hadis riwayat At-Tarmizi)

 

 

 

 

 

 

 

Jika rasuah itu haram maka perbuatan menggalakkannya seperti menyuruh diambil dan diterima rasuah tentu tidak bermoral dan bercanggah dengan kaedah usul fiqh.

 

 

Adakah ia untuk menjernihkan persepsi rakyat tentang rasuah yang sudah berlaku di dalam PAS ekoran pendedahan dari Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamad Daud Iraqi.. Sehingga Husam Musa sebagai Naib Presiden terpaksa mengarahkan beliau mengadap Dewan Harian PAS Pusat yang akan bersidang khas hari ini ?

Lihat lebih lanjut kenyataan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia di bawah… 

 

Politik wang mungkin ada – Nik Aziz

KOTA BHARU 17 Mei – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menolak kemungkinan wujudnya ‘politik wang’ dalam parti itu menjelang pemilihan agung bulan depan.

Justeru, beliau meminta para perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas itu menolak calon yang mengamalkan perbuatan sedemikian bagi meraih sokongan.

Namun Nik Aziz mengingatkan, sebarang tuduhan mengenai gejala itu perlu dibuat berlandaskan fakta dan wajar tindakan diambil sekiranya gagal dibuktikan.

“Boleh jadi ada sungguh (politik wang). Kalau ada sungguh, saya berasa sangat dukacita. Kita hendak berjuang dalam Pas, sedangkan Pas hanya wadah untuk perjuangkan Islam.

“Macam saya sebut hari itu, bagi duit ambil, bagi gula kacau. Saya setuju benar orang beri ambil tetapi jangan undi orang macam ini. Jangan beri peluang orang begini wujud dalam Pas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi bahawa budaya memberi ‘hadiah’ mula menular ke dalam parti tersebut menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta calon yang bertanding pada pemilihan akan datang supaya tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan syak.

“Dalam suasana begini, jangan kita beri macam-macam dekat orang sebab mereka akan tuduh kita. Orang tidak tuduh kita kalau kita ini bersih, jadi jangan buat benda yang boleh membuatkan orang tuduh kita.

“Perwakilan jangan terpedaya, jangan jadi hamba duit dan Alhamdulillah, Pas berjaya menyekat nafsu daripada terperangkap dengan duit,” katanya.

Mengulas tindakan ke atas Mohamed sekiranya gagal mengemukakan bukti atas dakwaan tersebut, beliau berkata, ia memang perlu dilakukan bagi memastikan setiap pemimpin bercakap berlandaskan fakta.

“Saya setuju, kita hendak sebut depan orang ramai mesti kena ada fakta. Jangan mengada-ada sebut kalau tak ada fakta,” katanya.

Mohamed telah diarah memberi penjelasan kepada Dewan Harian Pas Pusat dan sekiranya gagal mengemukakan bukti, beliau akan dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.

 

 

Kenyataan akhbar dari Mstar pula :

 

Rabu lepas, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mohamed Daud Iraqi ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Machang mendakwa mendapat laporan berlaku unsur sogokan seperti memberikan baju dan mengadakan majlis makan oleh calon pada kempen kali ini.

Mengulas dakwaan Mohamed itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersetuju Jawatankuasa Disiplin PAS mengenakan tindakan disiplin terhadap Mohamed jika tuduhan itu palsu.

“Saya setuju benar jika hendak ambil tindakan disiplin kerana bila mahu bercakap depan ramai mesti ada fakta kerana jika tidak ada fakta ia sesuatu yang bercelaru.

“Saya juga tidak boleh memastikan apa yang dikatakannya (Mohamed) itu sebagai satu tuduhan atau teguran. Dua perkara ini sesuatu yang berbeza,” katanya. - STAR

p/s : Adakah ini tanda tanda kenyanyukan Nik Aziz hingga bercelaru dalam berfatwa walhal beliau sangat kuat ingatannya berkaitan isu ditendang keluar dari BN hingga tidak mahu berbaik lagi dengan Umno ?

 

Wallahu A’lam

May 18, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 5 Comments

Makhluk Perosak dalam PAS @ Geng Erdogan yang perlu dihapuskan!

 

 

 

 

HAKIKATNYA, kewujudan golongan profesional dalam Pas bukanlah sesuatu yang aneh, malah sejarah sudah membuktikan bahawa golongan berkenaan turut sama-sama menyumbang ke arah perkembangan parti tersebut.

Dalam beberapa pilihan raya umum, biarpun tonggak kepimpinan Pas adalah ulama, namun golongan profesional tetap diberi tempat untuk bertanding.

Sebelum tahun 2004 kehadiran kumpulan itu dianggap bukan ancaman bagi Pas. Biarpun mereka bertanding dalam pemilihan parti namun kejayaan kumpulan itu tidak mampu menangani keupayaan golongan ulama.

Justeru Pas terus bergerak dengan kepimpinan ulama menjadi tunjang utama. Pelbagai susah dan senang ditempuh terutama dalam pilihan raya, tetapi kedamaian Pas berikutan kewujudan golongan profesional mula tergugat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Kejayaan yang dianggap cemerlang oleh Pas telah menjelmakan watak sebenar golongan profesional terutama sejak Pas berkawan rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Berikutan itu wujudlah istilah puak Erdogan yang ditujukan kepada sesetengah golongan profesional yang dianggap penyokong kuat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Puak ini mula menunjukkan belang mereka di dalam Pas dan pemilihan parti pada Jun nanti dilihat gelanggang terbaik untuk mereka melakukan ‘rampasan kuasa’ secara tertib bagi menguasai Pas sepenuhnya.

Tugas Anwar menjadi semakin mudah apabila ada di kalangan pemimpin yang selama ini sudah berpuluh tahun di dalam Pas dan ada suatu ketika dahulu turut mengecam Anwar ketika beliau berada dalam kerajaan, kini bersedia bekerjasama melaksanakan agenda politik beliau.

Lebih malang lagi bagi Pas, apabila ada di kalangan pemimpin berkenaan adalah bekas ahli UMNO yang ketika berada dalam parti itu dulu sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Selepas berjaya merosakkan UMNO dan akibat taksub kepada Anwar, mereka ‘berhijrah’ ke Pas, bukan dengan tujuan baik tetapi demi memastikan agenda politik mereka untuk berkuasa dapat diteruskan.

Mereka memahami, walaupun menjadi penyokong Anwar, mereka tidak boleh bergantung harap kepada PKR kerana parti itu bukannya salah sebuah parti yang menjadi pilihan utama orang Melayu. Bagi orang Melayu mereka hanya akan memilih UMNO atau Pas.

Perkara ini juga disedari oleh Anwar. Oleh itu gerakan tersusun dilakukan bagi memastikan kepimpinan Pas berada dalam genggaman puak Erdogan.

Mereka begitu percaya kepada teori politik Anwar bahawa pembangkang akan merampas tampuk pemerintahan negara biarpun impian 16 September sudah berkubur.

Apa yang menarik, ada di kalangan pemimpin ‘Pas Erdogan’ ini dijanjikan pelbagai jawatan dalam Kabinet termasuklah sebagai menteri kanan seperti Menteri Kewangan, Menteri Pelajaran dan Menteri Pertahanan.

Apabila Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mendedahkan bahawa bapanya Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan penubuhan kerajaan perpaduan asalkan dua jawatan itu diserahkan kepada Pas, Nik Abdul Aziz bukannya bercakap kosong, sebaliknya Mursyidul Am Pas itu mungkin sudah dimaklumkan oleh ‘pembantu-pembantu’ beliau dari kumpulan Erdogan itulah jawatan yang dijanjikan oleh Anwar.

Keadaan itu dengan jelas menunjukkan sebenarnya yang ghairah untuk mendapat kedudukan bukannya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi adalah kumpulan Erdogan dalam parti itu yang cuba menjadikan Pas sebagai kuda tunggangan mereka bagi memperolehi kuasa politik.

Justeru, ahli-ahli Pas seharusnya berhati-hati dengan gerakan kumpulan Erdogan ini yang boleh dianggap sebagai ‘makhluk perosak’. Mereka perlu memegang teguh semangat kepimpinan ulama yang mempertegaskan bahawa Presiden, Timbalan Presiden dan salah seorang daripada Naib Presiden adalah di kalangan ulama.

Mereka tidak harus termakan hasutan puak-puak Erdogan yang membentangkan pelbagai hujah bagi memastikan matlamat politik mereka tercapai.

Kita mengakui bahawa kepimpinan ulama dalam Pas ada kelemahannya tetapi bertindak menyingkirkan golongan berkenaan bukanlah satu tindakan yang bijak.

Selama ini sebelum tahun 1998, segala kelemahan kepimpinan Pas ditegur secara terbuka atau tertutup oleh ahli-ahli Pas, malah Dewan Pemuda Pas Pusat yang diketuai oleh Salahuddin Ayub sudah beberapa kali dalam muktamarnya menegur kepimpinan Pas secara terbuka.

Tujuan mereka bukannya untuk menjatuhkan kepimpinan ulama tetapi hendak memastikan segala kelemahan diperbaiki bagi membolehkan Pas menjadi bertambah kukuh dan kuat. Melalui pendekatan inilah yang memungkinkan dari semasa ke semasa Pas semakin mendapat sokongan rakyat termasuk di kalangan bukan Melayu.

Oleh itu, sebarang agenda puak Erdogan yang ternyata menjadi alat kepada pemimpin politik tertentu di luar Pas bukan sahaja perlu dihentikan malah dihapuskan sama sekali. Mereka ini harus ditolak secara total dalam pemilihan parti yang akan diadakan.

Tidak salah untuk ahli-ahli Pas memilih golongan profesional tetapi biarlah individu itu adalah mereka yang menyokong kepimpinan ulama bukannya hendak ‘meruntuhkannya’ dari dalam.

Mungkin bagi sesetengah penyokong Pas, mereka akan melihat kewujudan istilah Erdogan dalam Pas adalah usaha pihak-pihak tertentu untuk memecah belahkan Pas.

Tetapi dalam soal ini mereka perlu bersikap terbuka, percayalah selagi seseorang itu bernama orang Melayu dan Islam tanpa mengira apa juga pegangan politiknya, dia tidak akan tergamak melihat kepimpinan ulama dalam Pas runtuh akibat permainan politik kotor puak Erdogan.

Mereka yang mempunyai tafsiran salah berhubung peringatan ancaman kumpulan Erdogan ini harus mengkaji dengan mendalam bagaimana fenomena Anwarisme sedang melanda Pas.

Dalam pertemuan penulis dengan beberapa pemimpin dan penyokong kuat Pas, mereka mengakui pengaruh Anwar sudah ‘mendarah daging’ dalam Pas sejak 10 tahun lalu.

Golongan muda dalam Pas terutama di peringkat akar umbi yang baru berjinak-jinak dengan politik lebih menyanjungi Anwar berbanding Abdul Hadi atau Nik Abdul Aziz.

Justeru pertahankanlah kepimpinan ulama dan jangan biarkan puak Erdogan memporak-perandakkan Pas. Apa pun Pas tetap menjadi parti kedua selepas UMNO yang menjadi harapan orang Melayu.

Tindakan mereka yang terpengaruh dengan golongan Erdogan boleh mengakibatkan kata-kata seorang pemimpin kanan parti itu menjadi kenyataan.

Antaranya beliau memberi ingatan, “Saya bimbang ulama hanya dijadikan seperti penolak kereta buruk. Sewaktu kereta itu rosak dan tidak mampu dihidupkan enjinnya, maka ulama dipanggil untuk menolak kereta tersebut agar dapat membantu menghidupkan enjinnya.

“Malangnya, sebaik sahaja enjin kereta itu hidup dan dapat meneruskan perjalanan, kereta dan pemandunya terus meluncur laju ke hadapan tanpa menoleh kepada orang yang bantu menolak kereta tersebut, sebaliknya hanya ditinggalkan asap sahaja buat mereka – jauh sekali mahu mendengar ucapan terima kasih.” – Jangan biarkan ini berlaku dalam Pas.

 

 

 

 

 

 

dipetik dari :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?=2009&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm


baca juga :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

May 6, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 4 Comments

Kenyataan JAKIM dan MUFTI isu agama anak mualaf peluk Islam

 

Anak ikut agama asal ibu bapa bercanggah syarak

Oleh Nor Azma Laila dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my


Mufti minta kerajaan tarik balik keputusan elak kekeliruan

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan bahawa kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas seorang daripada pasangan itu menukar agama, bercanggah dengan hukum syarak, kata beberapa mufti semalam. 

Sehubungan itu, mereka meminta kerajaan menarik balik keputusan itu bagi mengelak kekeliruan, terutama di kalangan umat Islam.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata dalam Islam, mana-mana bapa atau ibu menganut Islam, anak mereka dengan sendirinya beragama Islam kecuali yang sudah berumur lebih 15 tahun boleh memilih agamanya sendiri. 

“Soal Islam tidak boleh dipermainkan, begitu juga dalam masalah hukum tidak boleh dibincang atau dipinda sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu mendapat pandangan ulama, mufti dan pakar agama supaya tidak timbul kekeliruan,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, berkata Kabinet membuat keputusan itu sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Keputusan itu dibuat berikutan kes bekas penganut Hindu yang kini memeluk Islam, Mohd Ridzuan Abdullah, 40, menukar agama tiga anaknya kepada Islam, walaupun ibu mereka masih beragama Hindu. 

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, pula menegaskan, bapa lebih berhak dan anak-anak mesti mengikut agama yang dianuti bapa.

“Apabila baligh mereka boleh menentukan agama yang ingin dianutinya, sama ada kekal dalam Islam atau sebaliknya. 

“Bagi saya kes ini membabitkan masalah manusia, bukannya hukum. Walaupun anak itu memeluk agama lain, hubungan mereka dengan ibunya tidak akan putus. Dalam Islam adalah haram sekiranya memutuskan hubungan persaudaraan, walaupun berlainan agama,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie, Mohamad Isa Abd Rolip, berkata sebarang perubahan yang ingin dibuat perlu mengambil kira undang-undang sedia ada serta pandangan semua pihak supaya tidak menimbulkan kebimbangan masyarakat Islam. 

“Keputusan itu seolah-olah satu dasar atau undang-undang baru yang perlu diikut, sekali gus menimbulkan kerisauan di kalangan umat Islam terutama saudara baru,” katanya. 

Setiausaha Agung, Yayasan Maklumat dan Perkhidmatan Islam, Sabariah Abdullah, berkata sebarang keputusan atau kenyataan berkaitan isu pindaan atau perubahan dalam hukum Islam tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. 

Peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi, Ikbal Salam, pula menyarankan bahagian khas syariah yang menguruskan isu penentuan hak jagaan anak-anak yang mana ibu atau bapanya memeluk Islam perlu ditubuhkan di Mahkamah Sivil. 

“Mahkamah Sivil juga perlu diberi kuasa menguruskan kes sebegini dengan melantik hakim yang terlatih dalam bidang sivil dan syariah bagi mengetuai bahagian khas itu supaya kepentingan pasangan yang memeluk Islam juga terbela,” katanya. 

 

Kenyataan JAKIM

 

Penentuan status perlu ikut hukum, perundangan

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan isu berkaitan penentuan status agama anak apabila ibu atau bapa memeluk agama Islam perlu dilihat dari aspek hukum syarak dan perundangan. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata mengikut Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang di bawah 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya. 

“Berdasarkan peruntukan itu, persetujuan salah satu pihak saja adalah memadai dalam penentuan agama seseorang kanak-kanak kerana perkataan yang digunakan dalam Perkara 12(4) itu adalah `parent or guardian’ bukan `parents or guardian’ yang mana ia bermaksud `ibu atau bapa atau penjaga,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini lewat petang semalam.

Katanya, mengikut Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, seseorang kanak-kanak yang belum mencapai usia 18 tahun boleh memeluk Islam jika ibu atau bapa atau penjaga mengizinkan. 

Katanya, antara kes yang boleh dirujuk berkenaan hak penentuan agama anak ialah kes Subashini Rajasingam lawan Saravanan Thangathoray yang mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bapa kanak-kanak itu mempunyai kuasa mengislamkan anaknya berdasarkan perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. 

“Ini adalah kerana berdasarkan kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapa atau penjaganya.

“Oleh itu, dalam kes ini suami adalah berhak mengislamkan anaknya walaupun isterinya tidak bersetuju dengan pengislaman anaknya itu,” katanya. 

Wan Mohamad berkata, mengikut hukum syarak pula, mereka yang berhak menjaga dan memelihara anak mesti seorang Islam kerana jika yang menjaga itu bukan Islam, dikhuatiri akan memberi fitnah kepada agama kanak-kanak di bawah jagaannya.

April 25, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 3 Comments

Adun perlu mohon maaf kepada umat Islam segera

KUALA LUMPUR: Mufti, pakar perundangan dan pertubuhan Islam menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming, yang membaca ayat suci al-Quran dalam siri ceramahnya semata-mata untuk memancing undi pada pilihan raya kecil sebagai usaha menghina agama dan umat Islam.

Mufti Perlis dan Selangor berpendapat perkara itu jika terus dibiarkan tanpa tindakan tegas pihak berkuasa boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara kerana ia jelas tidak menghormati agama rasmi negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membuat laporan polis secara berasingan di sini, semalam, sebagai membantah dan mengutuk tindakan Nga dan memintanya memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata Islam tidak melarang bukan Islam membaca al-Quran kerana kitab itu untuk semua manusia tetapi hendaklah digunakan dalam suasana, niat baik dan bacaan yang betul.

Beliau yang mendengar bacaan Nga yang disiarkan di televisyen kelmarin berkata, bacaan dilafazkan itu jelas tidak betul dan menyeleweng.

“Kalau orang Islam sendiri yang menyalah guna ayat suci itu juga dilarang, apatah lagi orang bukan Islam. Ia boleh menggugat kestabilan, jangan heret kitab suci dalam kemelut politik sebab kita tidak mahu berlaku salah guna dan tidak ada rasa hormat pada sensitiviti penganut agama lain,” katanya ketika mengulas desakan pelbagai pihak supaya Nga memohon maaf dan menghentikan perbuatannya kerana mempersendakan agama Islam semata-mata untuk memancing undi orang Melayu.

Kelmarin, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping susulan rakaman video youtube.com yang memaparkan Nga membaca ayat al-Quran selama satu minit 16 saat.

Dalam rakaman itu, Nga memberi salam secara tidak tepat dan membaca petikan yang didakwa dari surah ‘Aura’ yang tidak ada dalam al-Quran.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahab, berkata ayat al-Quran adalah kalam Allah yang suci dan membaca al-Quran adalah ibadah.

Namun katanya, umat Islam yang menyebut ayat al-Quran tidak betul, bukan mendapat rahmat sebaliknya laknat.

“Kalau bukan Islam yang tidak tahu sebut, dan salah bacaan, sudah tentu mirip kepada senda gurau yang tidak sepatutnya berlaku.

“Lebih baik mereka baca tafsiran saja, lebih selamat,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainal Rijal Abu Bakar, berkata hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap mereka yang jelas menghina agama Islam mengikut kanun keseksaan mengikut Seksyen 298.

http://www.bharian.com.my/Tuesday/Nasional/20090407001640/Article/index_html

April 7, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 3 Comments

JAIS siasat video hina Islam

Oleh MEGAT RAMLI 

 


SALAH satu aksi lelaki dalam klip video yang didakwa 
mempersendakan agama Islam yang disebarkan menerusi You Tube.



SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat klip video seorang lelaki didakwa menghina Islam seperti yang dipaparkan menerusi laman web You Tube bertajuk ‘Melayu Boleh Makan Babi’.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya mendapati klip video itu secara nyata menyalahi Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Penyebarannya menyalahi peruntukan undang-undang agama Islam sama ada ia disebarkan melalui buku, tulisan, ucapan dan sebagainya termasuk menerusi Internet,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman selama 1.22 minit menunjukkan seorang lelaki tanpa memakai baju sujud menyembah bingkai yang kelihatan seperti ayat-ayat al-Quran sambil mengajak umat Islam memakan babi.

Lebih biadap, lelaki itu menyatakan orang Islam yang makan daging babi boleh menghapuskan dosa.

Rakaman bersama suara latar yang penuh dengan kata-kata penghinaan kepadaagama Islam dilakukan dalam sebuah lokasi tertutup.

Antara kata-kata suara latar terbabit ialah:

“Marilah kita bersama-sama makan babi yang sedap, bahawa mereka akan sudah membuang dosa jika makan. Mulai hari ini semua Melayu boleh makan babi yang sedap.”

Video tersebut juga menunjukkan lelaki terbabit mempersendakan laungan azan sebelum ia diakhiri dengan ketawa individu lain yang merakamkan aksi lelaki itu.

 

 

p/s – tindakan keras perlu diambil oleh PM baru Malaysia demi mengelakkan ia menjadi isu besar dan boleh merosakkan perpaduan nasional…

April 6, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | 1 Comment

UMNO akan laksanakan Hudud ? ~Malaysiakini

Islam tidak membahagikan dunia kepada negara sekular atau negara Islam seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.

Al-Quran dan Sunnah hanya menyebut dan mengkisahkan tentang orang Islam dan orang kafir, bukan mengenai negara Islam dan negara bukan Islam.

Oleh kerana itu ianya bukanlah menjadi perkara dasar untuk membincangkan sesebuah negara itu Islam atau bukan Islam, selagi ia menjalankan dasar-dasar yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam, menjaga hak orang-orang Islam dan bukan Islam serta melaksanakan keadilan.

� Oleh itu, definisi istilah negara Islam hanyalah menurut Ijtihad para ulama sahaja. Ulama muktabar menggariskan, negara hanya digolongkan kepada tiga iaitu negara Islam (Darul Islam); negara kafir yang berdamai dengan negara Islam (Darul Harb) dan negara kafir yang tidak memerangi negara Islam (Darul Ahd). Mengikut kaedah fiqah Islam, Darul Harb dan Darul �Ahd adalah negara orang kafir.

� Mengikut definisi, Malaysia adalah negara Islam kerana diterajui oleh pemimpin beragama Islam iaitu Yang di-Pertuan Agong dan majoriti penduduk beragama Islam.

� Malaysia juga adalah anggota Pertubuhan Negara Islam (OIC).

� Satu-satunya negara di dalam dunia yang menjadikan Islam agama bagi negara ialah Malaysia kerana termaktubnya dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dalam fasal 3 �Ugama Islam adalah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Definisi Negara Islam Menurut Ulama Mu-tabar :

� Oleh kerana tidak dinyatakan dalam al-Quran atau as�Sunnah, konsep negara Islam termasuk dalam perkara-perkara ijtihadiyah� iaitu hasil kefahaman ulama yang berkenaan.

Antara pandangan ulama mengenai negara Islam adalah :

a) Menurut Muhammad bin Hassan As-Syaibani (ulama terkemuka dari mazhab Hanafi), negara Islam ialah negara yang dikuasai oleh umat Islam dan orang-orang Islam beroleh keamanan di dalamnya.

(Perlembagaan Malaysia Perkara 32 dan 39 memperuntukkan ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Agong itu mestilah seorang raja yang dipilih daripada kalangan raja-raja Melayu yang beragama Islam).

� Sejak merdeka, BN telah memperuntukkan jawatan-jawatan penting dalam jemaah menteri hanya dipegang oleh menteri yang beragama Islam. Kenyataan ini menepati pendapat ulama� berikut :

b) Menurut Syeikh Muhammad Abu Abu Zuhrah, Negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan Islam, dalam mana kekuatan dan pertahanannya berada di tangan umat Islam.(Rujukan: Abu Zahrah. Syeikh, 164, hal. 377)

Sekiranya dilihat (Pemerintahan ketenteraan di negara ini adalah di bawah pentadbiran orang Islam kerana jawatan tertinggi seperti Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera dilantik dari kalangan orang Islam. Angkatan tentera yang ditubuhkan ini mampu mempertahankan negara dan agama daripada pencerobohan serta menjamin keamanan dalam negara).

� Ramai ulama bersependapat sekurang-kurangnya negara Islam mestilah berketuakan orang Islam iaitu Wizaratul Tafwik (pembuat dasar) mestilah Islam seperti Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. Wizaratul Tanfiz (Pelaksana dasar) seperti anggota jabatan kerajaan yang melaksana dasar tidak semestinya Islam.

c)Syarat untuk mengiktiraf sesebuah negara itu sebagai negara Islam.(Oleh itu, jika ada yang menganggap hukum hudud tidak dilaksanakan di negara, hal ini tidak menggugurkan status Malaysia sebagai sebuah nDr Mohammad Said Ramadhan al-Buti ketika membuat kesimpulan mengenai berbagai definisi negara Islam merumuskan, pelaksanaan hukum-hukum syariah Islamiyah bukanlah menjadi negara Islam).
� Di dalam al-Quran menyatakan apabila dua puak berbalah, hendaklah dicari kata sepakat dan sekiranya kata sepakat telah dicapai hendaklah dipatuhi. Maka sekiranya ada mana-mana pihak tidak patuh, maka hendaklah diperangi.

Di Malaysia, Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJFK) diiktiraf sebagai kata penentu atau kesepakatan. Maka, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3-4 Februari 1986 telah mengambil keputusan bahawa Malaysia Adalah Sebuah Negara Islam.

Oleh itu, sesiapa yang menyanggah keputusan Jawatankuasa itu adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah syariah.

Pelaksanaan Malaysia Sebagai Negara Islam

� Dasar Penerapan nilai-nilai Islam.
� Sultan sebagai ketua Agama.
� Dasar Bersih, Cekap, Amanah.
� Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan pengurusan kewangan yang cekap.
� Negara Islam contoh.
� Kad perakam waktu (Punch Card).
� Azan dan Syiar Islam yang lain.
� Jabatan-jabatan yang menguruskan hal ehwal Islam di Malaysia.
Antaranya ialah: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Mufti, Baitul Mal dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Tabung Haji, Perbankan Islam dan Jabatan Pendidikan Islam.

Kelemahan Pas Berhubung Isu Negara Islam

� Dulu Pas menganggap kerjasama UMNO dengan parti komponen lain yang pemimpinnya bukan beragama Islam adalah amalan yang bercanggah dengan konsep negara Islam.

Bagaimanapun, Pas kini menjalinkan kerjasama dengan DAP. Walhal, DAP dilihat cenderung menentang sebarang tindakan kerajaan yang menyumbang kepada pembangunan umat Islam di Malaysia.

� Malahan demi kepentingan politik dan mendapat sokongan daripada DAP, Pas akhirnya sanggup menggugurkan perkataan negara Islam dari manifestonya.

Oleh itu, amat jelas Pas tidak bersungguh untuk menjalankan pentadbiran Islam sebaliknya hanya bermuka-muka.

Keadaan ini berbeza dengan tindakan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN contohnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir (ketika itu) telah mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam Mesyuarat Agung Parti Gerakan.

� Mursyidul Am Pas, Dato Nik Aziz Nik Mat pernah berkata, jawatan Perdana Menteri tidak semestinya dipegang oleh orang Islam malah orang bukan Islam termasuklah daripada DAP boleh memegang jawatan tersebut.

Ia secara jelas bercanggah dengan konsep negara Islam yang mewajibkan ketua negara adalah beragama Islam.

� Selepas Dr Mahathir bertanyakan di mana pelan induk Pas mengenai Islam, Pas terpaksa menerima desakan penyokong-penyokongnya. Pada 12 November 2003, Pas secara tergesa-gesa melancarkan satu dokumen negara Islam Pas yang sebelum itu tidak pernah wujud.

Jika diperhalusi secara mendalam, tidak ada satu pun perkara baru yang dibawa oleh Pas sebaliknya semua perkara yang dinyatakan ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan telah pun dilaksanakan oleh kerajaan BN selama ini.

Isu-isu yang Sering Diutarakan oleh Pas
Isu Hudud

�Pas menuduh sistem kehakiman dan perundangan negara adalah perundangan sekular kerana tidak melaksanakan hukum hudud. Hudud menurut Pas seperti dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan jelas sekali mengikut citarasa sendiri, contohnya, Fasal 56 memberi pilihan orang bukan Islam memilih enakmen syariah atau tidak (sama dengan sistem kehakiman Malaysia).

� Manakala Fasal 68 mengenai syarat menjadi hakim syariah boleh juga dari kalangan hakim Mahkamah Tinggi Malaysia atau Borneo (iaitu hakim dalam sistem kehakiman Malaysia).

� Pas menuduh mahkamah sivil Malaysia sekular, tetapi Pas menerima pakai syarat kelayakan hakim mahkamah sivil yang sama untuk syarat kelayakan hakim syariah di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

� Pas menuduh pemimpin UMNO menolak hudud. Kerajaan pimpinan UMNO sudah berkali-kali menyatakan mereka tidak menolak hudud kerana hudud adalah hukum Allah.

� Pemimpin UMNO menegaskan, mereka tidak menerima dan tidak bersetuju dengan hukum hudud ciptaan Pas. Sebahagian daripada hudud Pas bertentangan dengan ajaran Islam. Antaranya ialah :

a. Fasal 56(1), Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan menyatakan hukum hudud Pas hanya berkuat kuasa kepada orang Islam. Ini bertentangan dengan hudud Allah yang berkuatkuasa tanpa mengira Islam ataupun bukan Islam.

b. Mukalaf mengikut Pas adalah mereka yang berumur 18 tahun sedangkan dalam mazhab Syafie syarat untuk mukalaf ialah cukup umur (baligh) dan sempurna akal (tahu membezakan yang baik dan buruk).

c. Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan mempunyai kekurangan kerana hukuman bagi penderhaka kepada kerajaan (Bughah) tidak diperuntukkan di dalam enakmen tersebut.

� Penjelasan :

a. Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan hukum Jenayah Islam seperti hukum Ta�zir, qisas (bunuh dibalas dengan bunuh) dan beberapa hukum hudud seperti hukuman ke atas penderhaka Kerajaan (Bughah).

Contohnya, orang berzina dan meliwat tetap dihukum dengan hukuman Ta�zir, cuma tidak disebat 100 kali. Ini merujuk kepada istitoah (keupayaan) untuk melaksanakan hukuman tersebut ke tahap maksima (tertinggi).

b. Sabda Rasulullah saw: dan apa-apa perkara yang telah diperintahkan ke atas kamu untuk melaksanakannya, maka laksanakanlah mengikut kemampuan kamu.

Isu Sumber Haram Dalam Negara

� Pas mendakwa Kerajaan Malaysia memperolehi pendapatan daripada sumber kegiatan haram seperti judi dan arak.

� Penjelasan

a. Malaysia sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu perkara berhubung hukum-hakam Islam.

Pengeluaran lesen arak dan judi adalah bertujuan supaya penjudi-penjudi dan pembuat-pembuat arak tidak bermaharajalela dalam negara ini.

Lesen arak adalah sebagai �ikatan� antara mereka dengan pihak kerajaan.

b. Khalifah Umar al-Khattab sendiri pernah menyuruh pengutip-pengutip cukai mengutip cukai arak dari orang bukan Islam pada zamannya sebagai cukai al-Kharaj. Lihat tulisan al-Qurasyi dalam kitabnya al-Kharaj.

c. Cukai ke atas barang haram seperti arak, judi, babi dan lain-lain tidak menjejaskan atau mencemari sumber hasil halal yang lain. Hujah ini berasaskan kias iaitu air yang melebihi dua (2) kolah tidak menjadi najis melainkan berubah warna, bau dan rasanya.

d. Cukai judi dan arak bukanlah sumber utama pendapatan kerajaan. Malah Kerajaan Nabi Muhammad saw juga mengenakan cukai kepala (Jizyah) ke atas orang kafir.

Cukai tersebut bukan sumber utama pendapatan kepada kerajaan Nabi Muhammad saw tetapi ia adalah sumber denda secara tidak langsung.

Persoalannya, jika Pas pernah mengeluarkan fatwa dengan menyatakan bahawa segala sumber pendapatan daripada hasil judi dan arak adalah haram, mengapa Kerajaan Pas masih mengeluarkan lesen arak di Terengganu?
f. Orang Islam tetap dilarang dan boleh didakwa di mahkamah jika melanggar hukum Islam seperti minum arak dan menagih dadah.

Tetapi Kerajaan tidak berdosa sekiranya ada dari kalangan individu Islam yang melanggar hukum Allah itu. Islam tidak diturunkan Allah ke atas negara tetapi ianya diturunkan ke atas individu.Pas menyatakan bahawa Kerajaan BN lebih banyak mengeluarkan lesen arak daripada kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu.

Kedudukan Bukan Islam di dalam Negara Islam

Ahli Zimmah

a. Mempunyai hak-hak untuk beragama, mendapat pekerjaan, mendapat pendidikan, pembelaan perubatan dan perlindungan.

b. Wajib untuk taat setia kepada kerajaan, patuh pada peraturan, menghormati syiar Islam dan membayar cukai.

Al Must�aman

a. Wajib menghormati syiar Islam, tunduk dan patuh kepada peraturan, tidak campur tangan masalah politik, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya di negara tersebut terutama yang bercanggah dengan undang-undang Islam.

Kesimpulan

� Berdasarkan sejarah pemerintahan di Zaman Rasulullah dan Khalifah Umar al-Khattab, definisi para ulama, kandungan perlembagaan (Islam agama Persekutuan), sistem pemerintahan negara (Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri-menteri kanan beragama Islam), sistem perundangan negara dan perakuan tidak langsung dalam Dokumen Negara Islam PAS, jelaslah Malaysia adalah negara Islam.

� Tambahan pula pembangunan fizikal dan pembangunan rohani terus dilaksanakan di Malaysia.

Selain masjid, surau dan jabatan agama, Malaysia memastikan umat Islam dapat menunaikan kewajipan menuntut Ilmu di sekolah, kolej, universiti dan pusat latihan kemahiran.

� Umat Islam bebas mengamalkan ibadat dan hidup aman bersama pelbagai kaum lain.

� Sebab itu, seluruh dunia mengenali Malaysia sebagai negara Islam.
(sumber:Pemudaumno)

http://pendekarumno.blogspot.com/2009/02/tolak-hudud-bukan-bererti-tolak-islam.html

April 2, 2009 Posted by penulis_cyber | 1 | | No Comments Yet