Sifat Pemimpin Islam ( Hadhari ) yang sejati
contoh gambar antara pemimpin Islam masa kini !
Bagi seorang pemimpin, keterlaluan dalam menonjolkan emosi akan menjatuhkan maruah dan wibawanya, lebih-lebih lagi kalau emosi itu terhadap apa atau siapa yang menentangnya.
Ya Allah Ya Tuhan kami, hambaMu bermohon agar Kau tunjukkanlah jalan untuk menyelamatkan bangsa, agama dan negara kami, dan selesaikanlah masalah kami tanpa ada kepentingan pada diriku sendiri. Ameen.
————————————————————————-
Ciri2 pemimpin yang meneladani Rasulullah SAW
1. Lemah-lembut
Allah SWT memberi peringatan manusia akan lari atau menjauhkan diri sekiranya pemimpin bersikap keras dan kasar. Adakalanya manusia bukan menolak Islam, tetapi menolak cara pembawa perjuangan Islam. Apabila pejuang Islam ditolak, secara automatik Islam tidak dapat disampaikan.
Pejuang Islam yang lemah lembut dan berhikmah tidak akan menimbulkan prejudis di kalangan rakyat dan pemimpin bukan Islam.
——————————————————————————–
2. Kasih sayang dan pemurah
Pemimpin kasih sayang adalah lambang perpaduan. Manusia dapat bernaung di bawah pimpinannya. Manusia rasa terbela dan terdidik.Tanpa perlu bersyarah panjang meleret atau tanpa perlu bercakap banyak, melalui kasih sayang, hati manusia merasa mudah menerima pemimpin tersebut.
——————————————————————————–
Emosi dan sikap pemimpin bawahan seringkali mencerminkan diri pemimpin atasan.
3. Tidak emosi
Seorang pemimpin yang ‘emosional’ dalam erti kata sangat mudah memperlihatkan perubahan sikap dan wataknya mengikut situasi, sama ada yang menggembirakan atau menyusahkan, sama ada yang seronok atau yang dibenci, sama ada yang disenangi mahupun yang dia meluat.
Seringkali emosinya itu tidak dapat dibendung atau dikawal. Terhadap sesuatu yang dibenci, yang tidak disenangi, ditunjukkan kebenciannya itu tanpa berselindung.
Bagi seorang pemimpin, keterlaluan dalam menonjolkan emosi akan menjatuhkan maruah dan wibawanya, lebih-lebih lagi kalau emosi itu terhadap apa atau siapa yang ditentangnya.
Pemimpin emosional sangat beremosi bila dikritik. Kritikan adalah sesuatu yang amat tidak disenangi oleh para pemimpin. Emosinya sangat tergugat, tersentuh dan tercabar apabila dikritik. Mudah saja melenting, melatah, marah-marah, mempertahankan dirinya dan sekaligus akan menyerang kembali saingannya, pengkritik atau musuhnya.
Adakalanya dia kembali menyerang dengan membuta tuli tanpa usul periksa, tanpa menimbang dan menilai kebenaran sesuatu kritikan. Malah sampai diiringi pula dengan tindak balas menghukum pengkritik.
Alangkah tidak bermaruah apabila didapati bahawa pengkritik itu di pihak yang benar.
Tentulah amat sukar untuk menebus kembali kesilapannya itu. Lantas kadang-kadang terpaksa bertindak lebih ganas untuk menutup segala kesilapannya. Ini akan mendatangkan akibat lebih buruk lagi dimana boleh menghakis kepercayaan lebih ramai manusia terhadapnya.
Seorang pemimpin yang tidak emosi akan sentiasa membiarkan kritikan itu berlalu begitu saja. Sama ada dirinya di pihak yang benar atau sebaliknya, emosinya tetap terkawal. Ketenangan itu seringkali membuahkan kesan positif, terutamanya apabila terbukti bahawa dirinya di pihak yang benar.
Kalaupun pengkritik tidak menyerah kalah, namun ketenangan itu akan dapat menutup mulutnya atau menjadikan pengkritik itu malu sendiri. Andainya ada juga benarnya di pihak pengkritik, dengan cara tidak emosi itu dia mengambil langkah mengkoreksi dirinya. Dengan cara itu bertambah lagi tinggi maruah dirinya yang akan menambah kepercayaan manusia kepadanya.
Adakalanya terdapat juga kritik yang dilemparkan itu merupakan umpan para musuh. Apabila tidak dapat membendung emosi maka musuh cepat dapat mengenal kelemahan pemimpin tersebut. Dalam taktik provokasi ini, biasanya musuh sudah menyediakan berbagai perangkap lain. Ramai pemimpin gagal dalam berhadapan dengan kerenah manusia kerana menghadapi mereka dengan penuh emosi.
Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat
3. Mendoakan penentang
Menundukkan penentang bukan untuk dirinya tetapi untuk rakyatnya. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan lahiriah untuk penentangnya menerimanya, maka didoakannya pula.
Begitulah mulianya hati dan begitulah besarnya jiwa seorang pemimpin sejati.
———————————-
4. Kata-katanya penuh hikmah
Kata-katanya tepat, ayatnya ringkas dan padat, tetapi mempunyai maksud yang jelas dan mudah difahami. Inilah yang dimaksudkan dengan hikmah dalam berkata-kata.
Bahasa dan susunan kata-katanya amat bermakna, mudah pula difahami dan bersifat mendidik manusia. Lebih-lebih lagi apabila kata-kata itu datangnya dari hati yang tulus ikhlas, tanpa kepentingan.
——————————
5. Tutur kata dan bahasanya sangat dijaga
Kebaikan yang keluar melalui lidah memang banyak. Kejahatan lidah juga amat banyak.Kebanyakan jenis kejahatan dari lidah itu pula adalah dalam bentuk yang membabitkan orang atau pihak lain. Lidahlah yang menjadi penyebab kepada hilangnya kasih sayang, terjadinya krisis dan perpecahan, menjadi punca pecah hati dan permusuhan.
Perkataan yang dihamburkan tanpa batasan, tanpa kawalan, tanpa tapisan, boleh meretakkan hati.
Apabila hati sudah terguris, apa sahaja yang hendak disogok dirasakan hambar oleh para pendengar atau penerima.
Pemimpin yang sejati tuturkatanya bersukat, bahasanya terpilih dan sangat dijaga. Jauh sekali dari umpat keji, maki hamun, sumpah seranah, kata nista, memfitnah, menghasut, mengutuk, mengadu domba, berbohong, memperleceh dan menghina orang.
————————————
6. Tenang menerima ujian
Setiap benda, setiap kejadian, setiap peristiwa,terus dikaitkan dengan Tuhan menjadikannya amat sabar dan tenang dalam menghadapinya.
Selain dia dapat melihat dan merasakan bahawa itu adalah kehendak Tuhan yang para hamba tiada kuasa menolaknya, dia juga dapat melihat hikmah di sebalik berlakunya ujian tersebut, yang di antaranya ialah untuk menghapus dosa, meningkatkan darjat, menambah rasa kehambaan, mendekatkan diri dengan Tuhan, menajamkan dan menghidupkan akal dengan berfikir mencari jalan mengatasinya dan untuk menguatkan atau mengebalkan jiwa yang sentiasa terdedah kepada cabaran.
7. Tidak senang dengan pujian
Apabila menerima pujian, bunga hati yang paling mekar ialah ujub atau hairankan diri. Merasa takjub, kagum serta istimewanya diri kerana dikatakan mempunyai banyak kelebihan. Bagi seorang pemimpin sejati, pujian tidak merosakkannya. Hatinya merasakan pujian hanyalah untuk Tuhan semata-mata. .
Berbeza dengan kebanyakan pemimpin dunia yang rosak kerana pujian dari para pengampu. Mereka lupa diri dan hilang rasa kehambaan. Akibatnya mereka menjadi tambah rakus dan zalim. Akhirnya menjadi buta dari melihat cacat cela dan kelemahan diri. Itu membuatkan dirinya tersungkur dan terhina lantaran terlalu banyak membuat kesilapan. Perkara yang silap itu pun masih lagi menerima pujian dari para pengampu yang sangat berkepentingan.
—————————————-
8. Tidak menjawab kejian
Di sisi pemimpin sejati, pujian dan kejian hakikatnya sama saja. Mereka tetap melihat kepada hikmah di sebalik kejian itu. Baginya, kalau ada benarnya sesuatu kejian, maka kejian itu dapat digunakan untuk mengoreksi diri, untuk melihat cacat cela, kelemahan dan kekurangan diri.
Kalau dijawab ertinya akan memperpanjangkan tempoh permusuhan dan melebarkan lagi jurang perhubungan.
Terhadap golongan yang mengejinya, dia ucapkan selamat sejahtera. Ertinya seolah-olah ia berkata kepada musuhnya:
“Aku tetap dengan keyakinan dan pendirian aku dan tidak
akan memusuhi kamu. Terpulanglah kepada kamu, tapi apa
yang kamu keji itu tidak akan menggugat pegangan aku”
———————————————————-
9. Marahnya dalam batas syariat
Diantara sifat yang amat payah dikawal ialah pemarah, terutamanya oleh pemimpin. Pemimpinlah yang mudah meluahkan perasaan marah. Kadang-kadang tidak terbendung hingga mencemarkan maruah dan wibawa diri. Terjadinya sifat pemarah kepada pemimpin kerana dia berkuasa atau mahu menonjolkan kuasanya. Marah dibolehkan namun ia mesti pula di atas landasan syariat serta batas-batas adab dan tata susila. Marah tetap marah, tetapi sikapnya tetap lemah lembut, berkasih sayang serta tutur katanya menunjuk ajar dan mendidik. Orang yang kena marah itu dia tahu yang dirinya dimarahi namun hatinya tidak terguris. Hatinya tetap merasakan bahawa marah itu adalah marah mendidik Marahnya kerana sayang, bukan kerana benci.
—————————————————————–
10. Selalu memberi maaf
Pemaaf juga termasuk sifat yang amat sukar diamalkan oleh pemimpin atau orang yang berkuasa. Kerana pada persepsi umum, seorang pemimpin sanggup menghukum mereka yang tidak bersalah. Betapalah kepada orang yang bersalah. Tentulah dianggap amat aneh apabila ada pemimpin yang sanggup memaafkan orang yang memang bersalah.
Senjata ini sebenarnya amat berkesan untuk menukar sikap manusia daripada jahat kepada baik. Sifat pemaaf seorang pemimpin membuatkan manusia tertambat hati dan mudah menerima pimpinannya.
Dalam satu-satu masyarakat yang terlalu banyak berlaku hukuman, itu tandanya didikan kurang berlaku. Hukuman pula menjadikan perasaan manusia tertekan.
Apabila ini berlaku pemimpin itu turut ditolak, kesetiaan juga semakin luntur.
Sebab itulah pemimpin umat Islam sangat dituntut memiliki sifat pemaaf, kerana seorang pemimpin Islam itu dia adalah wakil atau khalifah atau pengganti Tuhan untuk urusan manusia.
11. Sedikit gurauan dan tidak bercakap lucah
Banyak gurau senda diiringi pula dengan ketawa akan menghilangkan seri wajah dan menjatuhkan wibawa. Gurauan yang berlebihan diselitkan pula dengan sindiran akan membawa kepada renggangnya persahabatan.
Pemimpin sejati juga tidak bercakap lucah walaupun dengan perkataan “double meaning”. Lucah juga adalah sesuatu yang bersifat aib atau malu.
——————————————————–
12. Mendengar pandangan
Setiap manusia, Tuhan kurniakan kelebihan di sudut tertentu, lemah pula di sudut yang lain. Tuhan berikan keupayaan di bidang tertentu tetapi tidak mampu di bidang yang lain pula.Seorang pemimpin sentiasa memberi ruang kepada pengikutnya memberi pendapat, pandangan, idea dan cadangan.
Ramai para diktator jatuh terhina dan tersungkur di hadapan rakyatnya sendiri kerana
terlalu keras memaksa rakyatnya menerima apa saja keputusannya dalam keadaan keputusannya itu banyak yang silap.
—————————————————————–
13. Peka dengan kehidupan rakyatnya
Pemimpin yang sejati itu sangat peka terhadap situasi rakyatnya. Susah, senang, derita gembira, suka duka rakyat sangat dirasai. Terhadap sesuatu kegembiraan rakyat maka dia turut lahirkan kegembiraan dan bersyukur. Maka berlakulah suasana gembira di atas kegembiraan dan syukur di atas kesyukuran. Terhadap kesusahan, kesedihan dan penderitaan rakyat, dia juga sangat memberi simpati dan turut membelanya. Kesedihan rakyat adalah kesedihan hatinya juga. Dalam menghadapi
musibah, ujian dan kegagalan rakyat, dia meletakkan dirinya sebagai sebahagian daripada mereka. Kesusahan hidup rakyat dianggap sebagai dosa dirinya. Sikap begini sukar untuk dimiliki kecuali atas kurniaan Tuhan.
Di zaman ini mana hendak dicari pemimpin yang peka terhadap rakyatnya terutama tentang penderitaan dan kesusahan rakyatnya. Yang ramai adalah pemimpin yang menindas dan melakukan diskriminasi serta eksploitasi. Mereka hanya mengambil kepentingan daripada rakyat tetapi tidak membela rakyat. Kalaupun sedikit sebanyak mereka memenuhi keperluan material rakyat, namun mereka melupakan soal-soal maknawiyah dan rohaniah. Ertinya tetap juga tidak sampai mengisi kebahagiaan di hati rakyat.
Rakyat sendiri hilang kasih sayang, hilang sifat bertolong bantu, pemurah dan pemaaf. Hidup nafsi-nafsi. Akhirnya rakyat tetap juga dilanda oleh seribu satu macam masalah.
Roti Abuya Ashaari telah datang !!!!
![]()
Ikhwan anak didik Abuya Ashaari terus mengorak langkah dalam memenuhi fardhu ain dan mengelakkan syarikat bukan Islam terus menguasai pasaran umat Islam dengan bahan yang mengundang syubhat kepada kita semua…
Ini adalah perjuangan mereka selain membetulkan akidah dan akhlak umat, mereka sangat hebat dalam perniagaan dan juga bidang bidang lain.. Meskipun diserang dan difitnah namun nilai positif yang ada pada mereka perlu dicontohi berbanding keburukan yang zahir di mata kita..ia tanda bahawa mereka juga tidak memiliki kesempurnaan seperti Nabi dan Wali…
Berbanding sesetengah pihak lain yang bercakap berdegar degar namun melaksanakan Islam secara praktikal tidak lagi menjadi matlamat asalkan mereka dapat sokongan dan undian dalam setiap kali pilihanraya.Anak isteri tidak diajar berakhlak dengan baik, yang diajar agar melawan sesiapa sahaja selain parti gerakan mereka..Cuba kita kaji, berapa banyak perkara meliputi tarbiyah Non Muslim, Fardhu Kifayah, hiburan Islam, Sastera Islam yang diusahakan dan berjaya di tengah gelanggang masyarakat.
Yang terjadi ialah Islam telah disalah anggap hingga ia menakut dan meliarkan orang yang tidak memeluk Islam hingga terjadi sekarang ialah anti Islam kerana kesilapan muslim sendiri yang tidak ingat kepada membetulkan diri dan peribadi melalui bimbingan wali mursyid atau syeikh kabir !
Itulah Islam yang dibawa akhir zaman ini…
Sebenarnynya Islam sangat menarik dan ia digunakan sepenuhnya dalam menarik perhatian. Untuk apa sahaja maka Islam digunakan samada dengan niat yang ikhlas atau berkilas.
Oleh itu, perjuangan menegakkan Islam bukan dengan bercakap dan bidang politik sahaja namun ia perlu menyeluruh dan meliputi semua aspek kehidupan rakyat.
Yang penting, adakah Islam yang kita dakwa ada dengan kita itu,
ISLAM YANG MENYATUKAN DAN MEMBAWA KASIH SAYANG
atau
ISLAM MILITAN DAN KERAS SERTA RADIKAL
yang jauh dari gambaran akhlak dan perangai suci Hadrat Nabi Muhammad saw…
Fikirkanlah dan teguhkan diri anda menerima kritikan setelah anda memilih kebenaran meskipun ia sukar diterima oleh kebanyakan orang…
Ingatlah : hanya SEDIKIT dari hambaKu yang bersyukur !
TAHNIAH MALAYSIA KERANA MENJADI CAWANGAN PERTAMA AL AZHAR DI LUAR MESIR !
REMBAU – Majlis Senat Universiti Al-Azhar, Mesir buat pertama kalinya meluluskan penubuhan cawangan universiti itu di Rembau, satu-satunya di luar Mesir selepas lebih 1,000 tahun ia ditubuhkan.

Cawangan universiti itu akan ditempatkan di Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) dan ia dianggap membuka lembaran baru dalam pendidikan berteraskan Islam di negara ini. Dekan Kuliyyah Usuluddin Universiti Al-Azhar Kampus Malaysia, Profesor Dr. Muhammad Abd. Sattar Nasar berkata, pembukaan cawangan universiti itu merupakan satu usaha mengembangkan ilmu selaras dengan ajaran Islam yang mahukan pendidikan dijadikan sebagai senjata pada masa kini.
“Ini kerana Al-Azhar merupakan jantung kepada pegangan umat Islam di seluruh dunia dan benteng terakhir bagi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menghadapi cabaran tanpa sempadan,” katanya selepas majlis peletakan batu asas projek kampus itu oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini semalam.

