Hujah dan Jawapan kepada Dakyah Anti Hadis – siri 1

Saya telah menemui tulisan tentang doktrin sebenar anti hadis ini dan ingin berkongsi berkenannya dengan pembaca.. Saya rasa tentu tidak kena menceritakan tentang anti hadis tetapi gagal memberikan maklumat lengkap tentang fahaman mereka serta apa jawapan kepada tohmahan dan putar belit akal mereka tersebut.

20 Hujah Asas Golongan Anti Hadis dan Jawapannya.

Berikut disenaraikan 20 hujah asas (Primary Argument) yang dikemukakan oleh Golongan Anti Hadis untuk menolak hadis-hadis Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dari sisi syari’at Islam. Sekalipun kelihatan dalam laman-laman web mereka, terutamanya www.ropelist.com dan www.submission.org seolah-olah mereka memiliki banyak hujah dan alasan untuk menolak hadis, namun kesemua hujah-hujah tersebut hanyalah merupakan terbitan dari 20 kelompok hujah asas ini. Dengan terjawabnya atau lebih tepat tertolaknya 20 hujah asas ini maka tertolak juga puluhan hujah-hujah mereka yang lain.

Hujah Pertama:

Al-Qur’an adalah lengkap, terperinci lagi sempurna, maka kenapakah perlu dirujuk kepada hadis-hadis Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ? Bukankah Allah Subhanahu waTa’ala telah berfirman di dalam al-Qur’an:

Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran) ini. [al-An’aam 6 :38]

(Katakanlah) : Patutkah aku hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu ? [al-An’aam 6 :114]

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman. [al-‘Araaf 7 :52]

Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya SATU-PERSATU. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. [Hud 11:01]

Jawapan:

Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala apabila Dia menyatakan kesempurnaan, kelengkapan dan perincian kitab suci-Nya al-Qur’anul Karim, adalah merujuk kepada peranan yang dimiliki oleh al-Qur’an sebagai “kitab induk” yang telah mengusulkan pelbagai kaedah dan cara bagi umat manusia menerima dan mempraktikkan risalah Allah dalam kehidupan harian mereka sehingga ke Hari Akhirat.[1] Al-Qur’an adalah lengkap dan sempurna dalam konteks ia meletakkan asas-asas mentauhidkan Allah dan kaedah-kaedah menjanakan syari’at-Nya. Demikian juga, apabila dikatakan bahawa kitab al-Qur’an tidak meninggalkan atau terlupa apa-apa, ia bererti bahawa al-Qur’an tidak leka atau lengah dari menggariskan pelbagai kaedah serta prinsip penukilan hukum dan ajaran yang diperlukan umat untuk melaksanakan syari’at Allah yang indah ini dalam semua suasana dan keadaan.

Dalam suasana kelengkapan dan keterperincian inilah al-Qur’an meletakkan dasar serta prinsip yang jitu bahawa hadis serta sunnah Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam wajib dijadikan salah satu dari sumber syari’at yang ditaati, dirujuki dan dipegangi. Apabila hadis dan sunnah Rasulullah disisihkan, maka ia bererti menyisih sebahagian dari dasar dan prinsip penting yang digariskan oleh al-Qur’an; dan apabila hadis dan sunnah Rasulullah ditentang, ia bererti menentang sebahagian dari ajaran al-Qur’an itu sendiri.[2]

Adalah merupakan tindakan yang amat jahil apabila seseorang itu memahami ayat-ayat di atas secara zahir (face value) sehingga mereka berkata segala apa yang berkaitan dengan agama dan kehidupan di dunia ini telah diperincikan satu-persatu di dalam al-Qur’an. Jika inilah kefahaman mereka, maka penulis bertanya – jika pagi tadi kita bersarapan Mee Goreng dan ingin mengetahui hukumnya, bolehkah kita mencarinya di dalam al-Qur’an ? Pastinya kita tidak akan menemui keterangan tentang Mee Goreng. Maka apakah dengan itu Mee Goreng tersebut menjadi sesuatu yang halal, atau haram, atau sesuatu yang dilupai oleh al-Qur’an ?

Sebaliknya jika difahami ayat-ayat di atas sebagai yang menerangkan peranan al-Qur’an dalam meletakkan dasar serta prinsip syari’at dan kehidupan, pasti kita akan ketahui bahawa Mee Goreng tersebut adalah halal dan baik untuk dimakan, kerana al-Qur’an sedia menggariskan beberapa prinsip asas pemakanan, antaranya semua yang ada di mukabumi ini adalah halal untuk dimakan (Yunus 10:59) asalkan disembelih atas nama Allah (al-An’aam 6:121) atau dari sembelihan Ahli Kitab (al-Maidah 5:05) dan ia bukan bangkai atau daging khinzir (al-Maidah 5:03); dan bahawa umat Islam sangat dianjur makan (al-An’aam 6:142) asalkan mereka tidak berlebih-lebihan (al-A’raaf 7:31).[3] Inilah maksud dan cara sebenar mengguna-pakai ayat-ayat di atas yang menjadi asas perbincangan.




[1] Yusuf Qardhawi – Penghantar Kajian Islam: Studi Analistik Komprehensif tentang Pilar-pilar Substansial, Karakteristik, Tujuan dan Sumber Acuan Islam, ms 382.

[2] Lihat Ibnu Qayyim – I’lam al-Muwaqi’in, jld 2, ms 417.

[3] Lihat Quraish Shihab – Wawasan al-Qur’an: Tafsir Maudhu’i atas Pelbagai Persoalan Umat, ms 137-154. Amat dianjurkan menelaah buku ini bagi mengetahui pelbagai prinsip yang telah digariskan oleh al-Qur’an dalam pelbagai persoalan umat seperti pemakanan, pakaian, kerja dan sebagainya.

2 Responses

  1. Siapa di angkat Allah sebagai Imam manusia ( Semua manusia wajib mengikutinya)
    Jawapan sila baca Surah 2 ayat 124

    Nabi Muhammad di suruh mengikuti agama siapa?
    Jawapan sila baca surah 2 ayat 135

    Siapa pengasas Agama yang Allah suruh semua manusia ikuti termasuk semua nabi-nabi dan rasul-rasul?

    Jawapannya BACALAH……BACALAH Surah 2 ayat 130, 135, Surah 3 ayat 95, Surah 4 ayat

    125, Surah 6 ayat 161, Surah 12 ayat 37,38, Surah 21 ayat 73, Surah 22 ayat 78

    Apakah maksud ayat diatas?

    Ini jelas menerangkan bahawa semua umat manusia termasuk Nabi Muhammad disuruh Allah MENGIKUTI Agama Imam Manusia(?)di mana segala amalan agama seperti solat, zakat,puasa, haji telah pun tersedia ada.

    Jadi Apa SHAHADAH Imam Manusia?

    Renung-renungkanlah sebelum menuduh fahaman manusia lain SESAT agar Allah tidak membiarkan kita sesat dan TIDAK MEMBIMBING kita ke jalan yang diredainya.

    Allah berkali kali berfirman yang Dia tidak akan MEMBImBING manusia yang INGKAR akan ayat-ayatnya dan EGO dengan pendapat/ pegangan tradisi nenek moyang yang sukar untuk
    dikikiskan sama seperti kaum-kaum terdahulu yang INGKAR pada setiap Nabi/Rasul utusanNYA pada kaum masing-masing kerana merasakan pendapat mereka itu benar di mata mereka
    padahal Allah maha MENGETAHUI.

    Sebab itu kebanyakan MANUSIA gagal ke SYURGA kecuali sedikit.
    Sebab itu Nabi Muhammad mengatakan Kebanyakan kaumnya tidak mengamalkan Quran kecuali sedikit.(perhatikan Nabi Muhammad tak kata umatnya (sebab dia tidak tahu masa depan)
    Sebab itu Allah berfirman sekiranya kita mengikuti kebanyakkan manusia(hadis ciptaan manusia) kita akan sesat.

  2. Kalau kita paksa ahli ‘anti-Quran’ ni bacakan ayat2 Quran mereka akan membutakan matanya,membisukan mulutnya, & memekakkan telinganya.Persamaan mereka yang tidak percaya adalah seperti berikut dalam ayat ini

    (7:176) Dan sekiranya Kami menghendaki, tentu Kami menaikkan dia dengannya, tetapi dia cenderung
    kepada bumi, dan mengikuti keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika
    kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan
    lidahnya juga. Itulah persamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya
    supaya mereka memikirkan.

    (2:18) Pekak, bisu, buta; maka mereka tidak akan kembali.

    (2:171) Persamaan orang-orang yang tidak percaya seperti persamaan orang yang meneriak kepada apa
    yang tidak mendengar, kecuali satu panggilan dan seruan; pekak, bisu, buta – mereka tidak faham.

    Yang paling lucu tentang ahli ‘anti-Quran’ ni hanya mengambil Al-Quran sebagai nyanyian semata-mata.

    (36:69) Dan Kami tidak mengajarnya syair; ia tidaklah patut baginya. Ia hanyalah satu Peringatan, dan
    sebuah al-Qur’an yang jelas.

    Esok korang taulah nanti bila di Hari Pengadilan.
    Nabi Muhammad akan berkata,

    (25:30) Rasul berkata, “Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur’an ini sebagai
    suatu yang tidak dipedulikan.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: