Peristiwa hari ini dan Peristiwa Sahabat Nabi sebelum ini – iktibar untuk orang berIMAN

Mari baca sedikit kisah sirah sahabat dijamin syurga oleh Nabi dan bandingkan dengan peristiwa berlaku sekarang di negara kita..Sempena berkat penghulu segala hari ( hari Jumaat )  hari ini…

________________________________________________________________________________________________

Pembunuhan Saidina Ali bin Abi Talib ( 40 H )
Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdul Manaf al-Qurasyi al- Hashimi merupakan khalifah Islam yang keempat dalam sejarah Khulafa’ Ar-rasyidin yang menjadi pewaris Nabi s.a.w dalam urusan pemerintahan negara dan umat Islam . Beliau turut di kenali sebagai Abu Al-Hassan iaitu anaknya yang pertama dengan Fatimah Az-Zahra’ binti Rasulullah s.a.w . Ibu beliau ialah Fatimah binti Asad bin Hasyim bin Abdul Manaf .

Ali bin Abi Talib termasuk dalam sepuluh orang sahabat tersohor Rasulullah s.a.w yang dijamin syurga semasa hidupnya lagi oleh Saiyidul Mursalin yang juga merupakan sepupu dan mertua beliau . Ini jelas menunjukkan tentang kedudukan dan keistimewaan beliau sebagai ahlul bait al-mutharah .

Ali bin Abi Talib terkenal sebagai seorang yang warak, luas ilmunya dan merupakan panglima perang Rasulullah s.a.w yang berani yang terlibat dalam keseluruhan peperangan bersama Rasulullah s.a.w kecuali peperangan Tabuk disebabkan keuzuran yang menghalang beliau daripada menyertai perang tersebut .

Selepas syahidnya Saidina Umar Al-khattab dalam suatu tragedi yang mencetuskan kepada fitnah yang besar dalam sejarah umat Islam sehingga kini, Ali bin Abi Talib dipilih oleh Umar Al-khattab sebagai salah seorang daripada enam orang Ashabus Syura untuk mengantikan Umar dalam memegang amanah Khilafah . Lima orang yang lain ialah : Usman bin Affan , Talhah bin Ubaidillah , Abdul Rahman bin Auf, Az-Zubair bin Al-Awwam dan Saad bin Abi Waqqas . Akhirnya Saidina Usman bin Affan telah dipilih sebagai khalifah ketiga . Namun Saidina Usman juga syahid dibunuh oleh penentangnya juga dalam satu tragedi yang menyayat hati .

Selepas itu Ali bin Abi Talib diamanahkan untuk mengganti Saidina Usman . Beliau dilantik pada tahun ke 35 hijrah dalam suasana yang berkecamuk dan penuh dengan kontroversi pembunuhan Usman bin Affan . Desakan demi desakan dibuat agar beliau mencari dan menghukum pembunuh Saidina Usman .

Ekoran itu berlaku beberapa peristiwa antaranya peperangan Jamal pada tahun 36 hijrah dan peperangan Siffin pada tahun 37 hijrah antara beliau dan Muawiyah yang mendesak Ali bin Abi Talib menyelesaikan perkara berkaitan pembunuhan Usman atau meletak jawatan dan menyerahkannya kepada beliau yang ketika itu telah dipecat daripada menjadi gabenor Syam .

Peperangan Siffin berlaku dengan dahsyat dengan korban kedua belah pihak mencecah angka yang besar . Melihat keadaan ini, Muawiyah telah diberi nasihat oleh Amru bin al-Ash agar mengangkat mushaf dan meminta pihak Ali bin Abi Talib mengadakan tahkim .

Saidina Ali bin Abi Talib mulanya enggan kerana merasakan ianya semata-mata helah Amru bin Al-ash dan beliau telah mengungkapkan kata-katanya yang mashyur yang bermaksud : ‘Itu adalah perkataan benar tetapi bermaksudkan batil’ .

Akhirnya berlakulah majlis tahkim dengan pihak Muawiyah diwakili oleh Amru bin Al-ash sendiri dan pihak Ali oleh Abu Musa Al-asyari . Mereka mencapai kata sepakat untuk mengumumkan perletakan jawatan Saidina Muawiyah dan Saidina Ali serta menyerahkan urusan pemilihan khalifah kepada umat Islam . Pihak Saidina Ali pun mengumumkan pengunduran beliau .

Namun pihak Saidina Muawiyah tidak melakukannya sebaliknya menganggap jika Ali telah mengundur diri dari khilafah, maka tidak ada sebab untuk Muawiyah melakukan tindakan sama kerana akan menyebabkan umat berada dalam ketiadaan pemimpin .

Seluruh umat Islam gempar dengan peristiwa tersebut. Mereka berpecah kepada tiga golongan :
1- golongan yang membaiah Muawiyah iaitu penduduk Syam –
2- golongan yang tetap setia dengan Saidina Ali dan –
3- golongan yang mengasingkan diri daripada keduanya serta tidak memberi baiah kepada mana -mana pihak .

Golongan inilah yang dikenali sebagai Khawarij yang telah menaruh dendam pada Saidina Ali kerana menerima tahkim sedangkan beliau layak dan tidak sepatutnya menyerahkan khilafah kepada pihak lain . Urusan khilafah adalah haq Allah dan Dia akan memberinya kepada orang yang layak dan berhak . Mereka muncul selepas peperangan Nahrawan dengan pihak Saidina Ali dan berterusan memainkan isu tahkim tersebut . Mereka mengisytiharkan keluar dari memberi ketaatan pada Saidina Ali .

Sesudah itu Saidina Ali kembali ke Kufah yang menyokongnya . Sementara itu golongan Khawarij mula merancang untuk membunuh Ali bin Abi Talib, Muawiyah dan Amru bin Al-ash . Mereka berkumpul di Mekah dan memutuskan bahawa Abdul Rahman bin Muljam ditugaskan membunuh Saidina Ali , Al-Hajjaj At-tamimi membunuh Saidina Muawiyah dan Amru bin Bakir membunuh Amru bin Al-ash .

Dalam operasi ini hanya Ibnu Muljam sahaja yang berjaya membunuh Saidina Ali sementara yang lainnya gagal .

Tragedi itu berlaku pada subuh 17 haribulan Ramadhan tahun 40 hijrah ketika beliau mengejutkan penduduk Kufah untuk solat subuh berjemaah dimasjid . Walaubagaimanapun Saidina Ali meninggal dunia beberapa hari kemudian iaitu pada 21 Ramadhan dalam umur 63 tahun sementara Ibnu Muljam telah dibunuh oleh Al-Mughirah bin Naufal bin Al-Harith bin Abdul Mutalib .

Ibnu Muljam sendiri dianggap oleh puak Khawarij sebagai mujahid yang syahid di jalan Allah dan melakukan perbuatan itu sebagai taqarrub kepada Allah dan akan dimasukkan kedalam syurga. Mereka juga menggangap Ibnu Muljam sebenarnya tidak membunuh Saidina Ali sebaliknya membunuh syaitan yang menyerupai beliau

Rujukan
1- Tarikhul Khulafa’- Imam As-suyuti, Cetakan Darul Maarifah, Beirut 1999
2- Tarikh Islami – Hassan Ibrahim Hassan , Cetakan Beirut 1991
3- Al-Kulafa’ Ar- Rasyidun – Abdul Wahab An-Najjar, Cetakan Beirut

http://www.epondok.com.my/index.php?p=bannerbulanan/pramadhan.php

disampaikan oleh :

Penulis Cyber
https://ustazmoden.wordpress.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: