Gubra – filem sesat lagi menyesatkan yang dipuji Anwar !

Image Hosted by ImageShack.us

– Gubra sebuah filem Yasmin Ahmad yang boleh diklik sini ‘asal usulnya’… Gambar berlatarbelakangkan jenama Arak adalah salah satu adengan filem tersebut ( gambar dari blog ini )

– Faisal Tehrani ada mengulas berkenaan filem ini di sini dengan tajuk panas : gubra yang sesat lagi menyesatkan…

– Blog Anwar Ibrahim pun turut mengulasnya di sini dengan komen saya salin sepenuhnya di bawah :

Daunbiru_tua menanyakan:

Dato Seri, dalam laman web Dato Seri pernah menyatakan bahawa Dato Seri sendiri telah menyaksikan filem Gubra di MidValley Megamall. Apakah pandangan dan pendirian Dato Seri mengenai isu pluralisme yang diperkatakan mengenai babak-babak akhir filem tersebut? Serta, apakah pendapat Dato Seri mengenai kenyataan Syarifah Amani di FFM19 serta kenyataan-kenyataan balas oleh beberapa pihak?

Daunbiru_tua,

Filem Gubra menarik buat saya dan berjaya melonjakkan mutu filem Melayu yang agak kaku dan lesu. Filem juga persoalan seni yang mampu menyampaikan mesej sosial dengan segar. Pengarah ingin memaparkan kenyataan tetapi ia harus dibedakan dengan propaganda. Tidak samestinya kita bersetuju dengan semua tafsiran seni tersebut. Tetapi untuk mengembangkan filem dan teater malah seni sastera sekali pun kita harus lebih toleran dan menggalakkan wacana terbuka.

– Ia juga sama dengan kenyataan DSAI yang memuji Salman Rushdie sebagai ‘profound writter’ berkenaan Satanic Verses yang telah menggemparkan dunia Islam yang telah dibahas dengan lengkapnya oleh Anwar Ibrahim Dot Com di sini

Sejarah Salman Rushide dan bukunya boleh dibaca di sini

Baca selanjutnya komen Faisal Tehrani di harakahdaily berkenaan filem ini dua tahun lepas
yang turut diulas sebelumnya di blog beliau sendiri seperti link yang saya paparkan di atas..
Lina Joy dalam Gubra?

Faisal Tehrani
Fri | Aug 25, 06 | 10:16:30 am MYT
BEBERAPA bulan lalu setelah menonton Gubra, saya menulis �Gubra yang Sesat dan Menyesatkan.� Ia menerima respon spontan dan menjadikan blog saya sasaran bermacam khalayak pelbagai jalur pemikiran.

Iklan

Lama sebelum itu saya menekuni buku Al-Ghazwu ats Tsaqafi: al-Muqaddimat wa al-Khalfiyyat at Tarikhiyyah, karya Sayyid Ali Khamenei. Buku itu menjelaskan mara bahaya yang dihadapi umat Islam seluruh dunia: perang budaya.

Perang budaya adalah satu teror, pemaksaan ke atas keyakinan dan kebudayaan baru sebagai ganti kebudayaan dan keyakinan lama sesuatu umat. Perang budaya bukanlah interaksi budaya kerana jika ia satu tolak ansur budaya, kita akan berada di pihak yang berhak memilih. Tetapi dalam perang budaya, kita dilumpuhkan serta disuntik atau dipaksa menerima racun!

Misi perang budaya, pertama, menggoyang keyakinan terhadap agama. Kedua, memutuskan keyakinan dari prinsip Islam dan akhirnya  menjauhkan diri dari pemikiran efektif. Kaedahnya, menggantikan budaya lokal dengan kebudayaan asing.

Contohnya, bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak lagi dilihat secocok dengan zaman mutakhir. Tulisan jawi digantikan tulisan rumi kerana perlu mengikut peredaran zaman. Kaedah kedua ialah serangan budaya terhadap nilai-nilai Islam dengan menggunakan pelbagai alasan dan identiti baru yang dicipta, seperti “ini adalah model Islam yang selamat”, “soal agama adalah peribadi” dan “saya bukan Melayu yang tertutup fikiran”.

Produk perang budaya ialah filem, drama pentas, karya sastera, cereka televisyen malah apa sahaja yang terkait atas nama seni.

Tidak, jangan terpedaya dengan serangan budaya ini,  hatta  majlis pelancaran filem dimulakan dengan bacaan Yassin dan doa selamat. Jangan terpedaya dengan filem yang bermula “Bismillahhirahmanirrahim”. Jangan dibodohkan  dakwaan “drama pentas ini dihasilkan ketika saya berpuasa sunat Rejab”, atau “saya mendoakan kejayaan cereka tv ini ketika  di hadapan Kaabah sewaktu umrah”.

Apa yang mereka bina ialah agama itu peribadi, hak personal. Ibadah adalah ibadah, kerja filem adalah kerja filem semata-mata. “Saya cuma seorang pembikin filem tanpa agenda.” Jangan ditipu! Tidak ada kerja seni tanpa misi atau agenda.

Musuh yang bersikap berdolak-dalik dan berpura-pura ini adalah musuh penuh strategi. Mereka penganut fahaman sekular, memakai baju Islam liberal, Islam progresif dan pelbagai jenis Islam lagi dan melabelkan kita sebagai Islam fanatik, Islam ortodoks, Islam tradisional dan Islam konservatif.

Sekular memiliki konotasi masa dan tempat. Masa merujuk sekarang dan tempat merujuk dunia iaitu keduniaan. Sekular bermaksud insiden kontemporari, zaman ini, yakni apa pun implikasi selepas ini tidak penting dan segala hal yang ada harus berubah mengikut zamannya. Termasuk budaya, adab, budi pekerti masyarakat, dan agama.

Fahaman sekular ini membolehkan musuh budaya ini, pencemar budaya ini (mereka berbangga dengan gelaran ini) berhujah, “ini hanya sebuah filem, saya tidak mengkuliahkan apa-apa fahaman agama pun, saya cuma menyarankan satu fahaman yang universal iaitu kasih sayang.”

Dan kasih sayang ada dalam semua agama; kebenaran dan kesejahteraan ada dalam semua agama; semua agama menawarkan sekuriti. Inilah fahaman antara agama atau konsep pluralisme agama yang dpromosikan John Hick di Barat. Inilah bentuk pluralisme yang ditawarkan, iaitu  meruntuhkan kebenaran dan kemurnian akidah bahawa kepercayaan dan tauhid yang benar hanyalah Allah dan Islam.

Sebelum kemunculan John Hick, kita juga mempunyai pluralisme agama. Pluralisme agama seperti ditawarkan  kamus Oxford: “The principle that these different groups can live together in peace in one society” (Prinsip bahawa pelbagai kelompok dapat hidup harmoni di dalam satu masyarakat).

Untuk tujuan hidup bersama dengan damai, beberapa tolak ansur akan berlaku. Hal ini kita namakan proses politik. Pluralisme yang memang diiktiraf Islam akan diurus satu kriteria moral, undang-undang dan sebagainya, tanpa mencabul mana-mana hak satu sama lain.

Sekularisasi dalam bidang budaya kita adalah satu perang yang hampir semua orang tidak peduli, termasuk pendokong gerakan Islam. Sekularisasi adalah satu proses kehilangan dunia atau hidup daripada segala yang berbentuk agama atau separa agama, penolakan semua pandangan yang tertutup dan penghancuran semua yang berbentuk kuasa ghaib.

Sekularisasi suatu proses sejarah yang mungkin tidak boleh berpatah balik. Kalau kita kalah dengan musuh budaya ini kita tidak ada jalan keluar. Kita tidak ada jalan lagi untuk patah balik dan membetulkannya. Cukup ngeri! Ia satu proses yang membawa perubahan dari satu keadaan beragama kepada yang tidak beragama.

Tidak dapat berpatah balik jika kalah dalam perang budaya? Bagaimana? Contoh yang pendokong Islam sendiri rasa kurang peduli, iaitu tulisan jawi. Saya  merujuk kertas kerja “Potensi Perkembangan Tulisan Jawi: Usaha Merintis Kemungkinan” oleh Prof Noriah Mohamed:

“The Roman character is associated in all the Malay mind with the vigour and intelligence of white races, while the Arabic character associated with the unintelligence study of the Quran seems unsuited for the practical purpose of life.” (Laporan Tahunan Pendidikan 1904)

Jika laporan pendidikan yang dipaparkan di atas dibuat pada 1904 bererti rencana untuk penggantian ini sudah dimulai sejak 1890 lagi. Pada tahun tersebut diperkenalkan tulisan rumi di negeri-negeri jajahan Inggeris sebagai langkah ke arah Anglicising the schools iaitu sekolah Melayu akan menjadi serupa atau seakan-akan sekolah Inggeris. Pelbagai alasan diberi untuk menggunakan tulisan rumi:

1. Keadaan masyarakat yang berbilang kaum.
2. Memudahkan bangsa-bangsa asing ini menggunakan bahasa Melayu dengan lebih meluas kerana mereka sudah tahu menggunakan bahasa Melayu.
3. Boleh membawa kanak-kanak non Melayu memasuki sekolah Melayu.
4. Pegawai-pegawai Inggeris akan lebih cekap menggunakan bahasa Melayu dengan tulisan rumi.
5. Tulisan Jawi mempunyai kekangan terutama untuk perkembangan bahasa dan kehidupan kerana kekaburan ejaan yang menggunakan sistem Arab.
6. Daripada alasan tersebut tulisan rumi terus diperkenalkan dan atas permintaan Sultan tulisan Jawi terus diajarkan terutama kepada mereka yang belajar agama dan al-Quran.

Hujah kedua dikatakan �biar mudah bangsa asing memperluas penggunaan bahasa Melayu mereka�. Apakah ini benar sebagaimana terlihat waktu ini? Realitinya kini orang Cina masih dengan akhbar Cinanya dan India masih dengan tulisan Tamilnya. Nama-nama kedai walaupun ada tulisan Rumi masih dikekalkan tulisan Cina dan Tamilnya. Mereka masih menyayangi tulisan warisan mereka, dan bagaimana kita? Inilah yang sering menjadi suatu igauan yang tak kunjung padam.

Baik, sekali lagi saya merujuk perang budaya oleh musuh budaya kita yang amat sekular ini, sekarang, adakah mungkin kita berpatah balik setelah ditumpaskan di medan tersebut? Hampir mustahil kecuali kekuatan dan revolusi politik yang mampu melakukannya.

Inilah realiti di medan budaya  dan saudara sebagai pendokong Islam, yang katakanlah patinya berjumlah 20,000  orang yang tampil menyatakan bantahan terhadap Kumpulan Artikel 11 dan gerakan IFC di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini tidak peduli terhadap kami budayawan dan sasterawan Melayu-Islam yang berdepan hampir seorang diri menentang musuh budaya ini.

Lina Joy menukar agama dan sekian ramai lagi murtad kerana orang Melayu tidak lagi mempedulikan persuratan dan budayanya. Ini bukan teori baru, ini hakikat. Suatu masa dahulu orang Melayu sangat rapat dengan persuratan Melayu-Islam. Karya persuratan ini menjadi benteng akidah.

Pernahkah kita terfikir mengapa ketika penjajahan Portugis dan Belanda yang sangat lama di Tanah Melayu itu, umat Islam Nusantara tidak murtad secara besar-besaran? Kenapa kita tidak menjadi seperti umat Melayu di Filipina, khususnya di Manila yang masuk Kristian semuanya? Mengapa kita tidak menjadi seperti orang Brazil dan Mexico yang masuk Kristian hasil penjajahan? Apa rahsia kita?

Pondok, pesantren, zawiyah, madrasah, peranan masjid? Tidak sekadar itu, tanpa menafikannya; satu aspek yang menyelamatkan akidah orang Melayu waktu penjajahan Portugis dan Belanda ialah karya persuratan!

Karya sastera seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Puisi-puisi Raja Ali Haji, Syair Perahu Hamzah Fansuri dan sekian macam syair lagi, adalah benteng kukuh akidah umat Islam. Pengarang karya sastera ini  adalah ulama. Untuk mereka yang kurang terpelajar pula, orang Melayu sebati dengan pantun, gurindam dan seloka.

Pantun itu berada di hujung lidah mereka, seperti pantun:

Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Kutuntut ilmu sungguh-sungguh,
Akan bekalan hari kemudian.

Pantun itu mengajar konsep anti-sekular yang mudah! Orang Melayu beranggapan apa saja yang dilakukan adalah untuk menjadi bekalan akhirat. Inilah benteng orang Melayu secara tidak langsung. Apa yang berlaku lama-kelamaan karya persuratan ditinggalkan kerana bermacam alasan, dan perlahan-lahan musuh budaya masuk dalam dunia kesusasteraan, lalu menukarnya menjadi dunia sekular secara yang tidak disedari.

Karya persuratan kita tidak lagi berunsur nasihat, tidak lagi memberi pengajaran dan tidak lagi berkhutbah. Sebaliknya hanya cerita semata-mata.

Kini, karya persuratan kita dicemari karya popular yang tidak ada nilai pemikiran, kontang ilmu, dan mengandungi inti picisan yang memualkan, sekadar cerita cinta tiga segi yang tidak membangkitkan semangat jihad atau ilmu. Bahkan sudah ada gerakan untuk mengangkat karya hampas ini sebagai kayu ukur mutu kerana kononnya ia berjaya dijual dengan banyak sekali. Liberalisasi dalam persuratan ini diusahakan dengan halus.

Anak-anak kita membaca karya sastera untuk hiburan, mereka diresapi  program hiburan di tv dan cereka tv seperti Gol & Gincu yang bermain dengan pelbagai isu Islam dan memomokkan golongan konservatif dan kemudian kita ada pelbagai filem, kemuncaknya Gubra yang diabsahkan dan diiktiraf filem terbaik!

Apa yang terkandung dalam Gubra?

Pertama, agenda agama itu personal. Perhatikan kenyataan karyawannya dan lihatlah Gubra yang memuatkan bagaimana watak Bilal yang hidup berjiran dengan dua orang pelacur boleh mengabaikan konsep beragama dengan membiarkan sang pelacur terus menjadi pelacur!

Kedua, agenda agama itu sekadar amar makruf. Tidak ada nahi mungkar. Jika melakukan nahi mungkar kita menceroboh wilayah peribadi, kita berlaku tidak adil, mencabul hak asasi dan dimomokkan kita tidak tahu menjaga sensitiviti masyarakat dan kita akan mencabul konsep pluralisme John Hick tado.

Ketiga, agenda maksiat dan gerakan menghalalkannya. Tanpa segan silu, slogan maksiat ditabuh dalam filem ini, lihat sahaja adegan �tak apa melacur itu�. Tanpa menafikan ada banyak filem lain yang turut memiliki agenda sama, tetapi Gubra kemuncaknya. Dan kemuncak ini dihadiahi filem terbaik untuk Pesta Filem Malaysia ke-19.

Sejak 19 kali pesta filem dilancarkan, hampir setiap filem terbaiknya mengandungi watak pelacur, sundal, jalang atau paling tidak, wanita ternoda. Sakit apakah masyarakat kita bahawa filem kita yang kononnya menjadi cerminan masyarakat dipenuhi perempuan jahat dan gelap?

Keempat, Gubra adalah agenda inter-faith ala John Hick. Adegan akhir di mana munajat doa seorang bekas pelacur berganti dengan teleku watak lain di gereja dan kemudian upacara sembahyang di tokong oleh pasangan suami isteri Cina adalah mesej halus untuk menunjukkan semua agama menawarkan kebenaran, keselamatan, kesejahteraan dan kasih sayang.

Betul tidak ada Lina Joy dalam Gubra. Dua puluh ribu umat Islam yang tersinggung, marah dan mengamuk akan ribuan Melayu murtad di Masjid Wilayah tidak peduli kepada kami di bidang persuratan dan budaya yang mati-mati melawan barisan musuh budaya ini.

Kami diserang hari-hari. Kami tidak ada karyawan filem untuk membalas serangan. Kita tak ada strategi. Musuh ini ada strategi. Kami tak ada pembela berwibawa seperti Mufti Perak, Ustaz Harusssani. Malahan tidak dipedulikan pun.

Apabila Sharifah Amani naik ke pentas dengan kata-kata “I sound stupid speaking Malay” (saya berasa macam bodoh untuk berucap dalam berbahasa Melayu) dan “If bikin filem mencemarkan budaya lets make it often” (jika bikin filem mencemarkan budaya marilah kita buat banyak lagi) saya kasihan dengan gadis 20 tahun ini yang cedera parah oleh bom perang budaya.

Dia mungkin tak puntung kaki dan tangan, tetapi lebih dahsyat, hilang hati nurani. Dan makin banyak dia melakukan damage control seperti “keluarga saya memang tak berbahasa Melayu di rumah” dan “saya tak fasih berbahasa Melayu”, semakin parahlah kecederaannya.

Inilah yang kami, tentera yang kalian tinggalkan seorang diri, hadapi setiap hari setiap detik dan masa. Selepas menonton Gubra antara teman pengarang yang saya hubungi ialah novelis Zaid Akhtar dan  Nisah Haron.

Sesudah Seminar Peradaban Nasional di Port Dickson baru-baru ini kami sepakat mengatakan masyarakat kita makin parah oleh perang budaya ini. Hatta mereka yang kononnya dulu mahu mempertahankan budaya dan persuratan Melayu-Islam pun terjerumus!

Mereka tidak sedar pun mereka cedera. Malah mempertahankannya. Saya berasa apakah bezanya kehebohan mengenai ribuan orang Melayu murtad dengan ribuan orang Melayu yang telah hilang jati diri.

Kita kehilangan tulisan jawi, saudara membaca rencana ini dalam tulisan rumi. Hampir tidak mungkin kita berpatah balik. Saya tidak merayu saudara menyokong saya. Saya tak perlukan sokongan moral. Saya tak merayu dan minta saudara membeli karya saya kerana saya pengarang sepenuh masa.

Tetapi ingat, jika saya dan teman berdua lagi ini kalah dalam perang budaya yang sedang menggasak ummah, saudaralah yang harus bertanggungjawab, saudaralah yang bersikap tidak peduli kerana saudaralah yang meninggalkan kami.

Sumber : Harakah Daily

Kesimpulannya : Anwar Ibrahim sangat liberal kepada apa sahaja dan tidak bersedia menolak filem yang penuh ajaran sesat dan menyesatkan seperti Gubra ini…dan inilah yang dimahukan oleh Amerika. Sebuah rangka agama liberal sehingga agama selepas ini akan menjadi sekadar ‘koleksi peribadi’ di mana mereka akan melaungkan slogan kebebasan dan membuat kenyataan bahawa tidak patut ada orang yang menyibuk jika ada orang Islam ingin bercinta dengan Cina bukan Islam, atau memelihara anjing atau melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan ajaran murni Islam….

Ini rupa Anwar dan inilah rakan PAS yang bakal menjadi PM Malaysia jika PR memenangi pilihanraya atau menggulingkan kerajaan melalui MP kaki lompat….dan tidak peliklah jika ramai rakyat kita memberi sokongan kepadanya termasuk dari berlainan agama seperti Hindu, Buddha dan Kristian….. Walaupun kita masih bingung kenapa PAS juga masih rela ‘berpelukan’ dengan parti Anwar dan Lim Kit Siang ini !!!!

4 Responses

  1. Politician will always make everything / issues to suite to their need.

    Peganglah Siasah menurut islam.

  2. Tiada maknanya liberal andai tidak sejahtera dan menyejahterakan. Yang menyanggah nilai-nilai Islam. Sekadar istidraj.

  3. kpd Faisal Tehrani: Tolong lah stop being such a arrogant and naive person. Aku paling benci dengan dengan istilah ‘melayu-islam’ ni. Mak aku berketurunan cina+kadazan dan bapa aku dusun+cina. tapi kami sekeluarga semuanya islam. tiap2 kali bila kau dgr org ‘melayu’ melaung2kan perkataan ni hati aku terbakar sbb seolah2 org lain yg bukan ‘melayu’ bukan islam.. Buka hati tu sikit. lupakan perjuangan melayu-islam ni dan perjuangkan benda paling murni sekali. “ISLAM”.

    • melayu di sisi perlembagaan adalah sesiapa yang beragama islam bertutur bahasa melayu dan mengamalkan istiadat melayu…walaupun dia berbangsa india atau cina…harap faham

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: