Asri versi Anwar @ Amina ?

Itulah tanggapan saya ketika membaca artikel di bawah. Dan dikuatkan lagi dengan berita beratus orang telah turun memberi sokongan kepada beliau. Tak ubah seperti gaya bekas TPM kita yang dipecat dari kerajaan ekoran kes liwatnya.

Tak pelik kerna Dr Asri juga lulusan dari UIA dalam bidang  Falsafah (Ph.D) dalam Islamic Revealed Knowledge And Heritage (Al-Quran And Sunnah Studies), UIA (2003).

Tentu beliau ‘mungkin’ antara yang terkesima dengan karektor Anwar Ibrahim pengasas UIAM. Peliknya di sana juga saya dapati tokoh Islam Liberal bernama Amina Wadud bertapak selama tiga tahun sebagai Prof Madya sejak 1989.

Amina Wadud bukan pertama kali mencetuskan kontroversi. Pada Ogos 1994, beliau pernah menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Islam as Engaged Surrender di Masjid Claremont Main Road di Cape Town, Afrika Selatan. Akibat dari perbuatan beliau tersebut, terdapat usaha-usaha untuk menyingkirkan beliau dari Universiti Commonwealth Virginia.

Di sebalik bantahan dan kritikan majoriti masyarakat Islam terhadap tindakan Amina Wadud, beliau masih menerima jemputan untuk bercakap dan menjadi imam untuk Solat Jumaat. Pada 28 Oktober 2005, beliau menjadi imam kepada lebih kurang 30 orang setelah menyampaikan syarahan di International Congress on Islamic Feminism (Kongress Antarabangsa Feminisme Islam) di Barcelona, Sepanyol.

Jika dikira kelulusan Amin Wadud, dia juga seorang DR lulusan Phd tetapi adakah ijazah itu membenarkannya bercakap sesuka hati tentang Islam ?

Kita masih ingat lagi ketika Amina Wadud telah menjadi imam kepada 100 orang jemaah untuk Solat Jumaat. Selepas beliau ditolak dan tidak dibenarkan membuat solat Jumaat di tiga buah masjid di New York, akhirnya  Synod House di Gereja St John the Divine di Manhattan telah menjadi saksi ‘peristiwa hitam’ tersebut.

Majlis itu ditaja Persatuan Kebebasan Wanita Muslim (MWFT) dan MuslimWakeUp.com sehingga mengundang perdebatan hangat di kalangan ulama Islam di seluruh dunia. Peristiwa hitam tersebut berlaku pada 18 Mac 2005.

Bagi saya tindakan Amina Wadud tidak ubah seperti Dr Asri, kerana beliau menggunakan pendapat yang tidak disepakati oleh Ulama dan sangat lemah dan nadir sekali sebagai sandaran perbuatannya.

Jika Dr Asri desak diberikan tauliah dan kita setuju bermakna kita setuju orang seperti Amin Wadud dan yang sealiran dengannya bebas ‘menyebarkan’ fahaman songsang mereka ke dalam masyarakat kita.

cukuplah kerosakan yang berlaku dan kita tidak perlu lagi menambahnya untuk menjadi lebih rosak !!!

Ikuti artikel tentang sanggahan Ulama terhadap Dr Asri.

ULAMA ISLAM SANGGAH MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN

(1) Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam tulisannya Mengapa Insan Mencari Agama di ruangan Pelita Ilmu, Risalah Tauhid, Majalah i, April 2003 berkata:
“Ada pula yang apabila menemui seseorang yang baru menganut Islam atau ingin memahami Islam maka dia mengatakan: “Engkau wajib menghafal sifat dua puluh dengan perbahasan falsafahnya jika tidak iman engkau tidak dikira sah dan solat kau juga tidak bermakna…

Ini semua adalah contoh golongan yang menyusahkan manusia mendekati dan memahami Islam dengan cara yang jelas dan diterima.” Intaha.

Sanggahan:

1. Dakwaan Dr. Mohd Asri di atas tanpa sebarang bukti yang menunjukkan kejadian yang didakwa itu benar-benar berlaku seperti dengan data-data orang yang berkata sebegitu, masa dan tarikh kejadian dan tempat kejadian. Di sini, Dr. Asri cuba secara halus dan seni untuk menjauhkan umat Islam dari pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah al-Maturidiyyah.

2. Jikalah kejadian itu benar-benar berlaku, maka kata-kata itu tidak diungkapkan oleh orang alim dalam pengajian sifat dua puluh tetapi diungkapkan oleh peribadi yang jahil. Ini kerana jelas dalam kitab pengajian sifat dua puluh tidak mewajibkan ke atas setiap mukallaf untuk menghafal sifat dua puluh tersebut, bahkan mereka diwajibkan (fard ^ayn) agar mempelajari dan mengetahui sifat-sifat tersebut beserta dalil aqli. Adapun untuk mendalami dan mahir ilmu tauhid Ahlis-Sunnah al-Asha^irah al-Maturidiyyah ini dengan menguasai segala dalil naqli dan dalil aqli, maka itu hukumnya fard kifayah. Menghafal merupakan salah satu cara untuk menjadikan seseorang itu pakar dalam sesuatu bidang, termasuk bidang ilmu tauhid ini. Oleh itu, menghafal segala dalil itu bukanlah satu perkara fardu ke atas setiap mukallaf, bahkan diwajibkan ke atas sesebuah masyarakat Islam di suatu kampung atau mukim atau daerah atau negeri atau negara agar segolongan yang menghafal segala dalil dan hujah iaitu yang pakar dalam ilmu ini secara mendalam. Jelaslah di sini pengajian ilmu tauhid pada tahap fard ^ayn tidak menyusahkan dan tidak rumit. Malah, apa jua ilmu yang dituntut secara mendalam memanglah suatu yang rumit dan susah terutama kepada orang awam.

(2) Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin dalam tulisannya Apabila Golongan Agama Melemahkan Agama dalam ruangan Fikrah, Majalah i, November 2005, hlm. 36 berkata:
“Jika pun dibincangkan persoalan akidah, mereka dipengaruhi falsafah Greek lama yang kadangkala perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan membawa kepada kepenatan akal dan kecelaruan. Ini seperti sifat Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelak guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: “Siapa banyak bertanya maka lemah imannya…”. Maka akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah warisan Greek dan Yunan.” Intaha.

(3) Dr. Mohd Asri berkata dalam temubual wartawan Berita Harian Tuan Nazuri Tuan Ismail yang bertajuk Akidah luntur punca masyarakat Islam mundur. Ilmu tauhid cetek, pemikiran ulama dipengaruhi falsafah Greek sebabkan iman muslim celaru, dalam ruangan Soal Jawab, Berita Minggu, Ahad 14 Januari 2007 hlm. 12:
“Umat Islam juga mudah dipengaruhi falsafah Greek lama yang kadangkala perbincangannya tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah, bahkan membawa kepada kepenatan akal dan kecelaruan. Ia seperti sifat Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham.

Untuk mengelak guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: “Siapa banyak bertanya maka lemah imannya”. Maka, akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah warisan Greek dan Yunan.” Intaha.

Sanggahan:

1. Dengan kesarjanaannya sepatutnya Dr. Mohd Asri mengemukakan analisa perbandingan falsafah Greek lama dengan pengajian tauhid al-Asha^irah al-Maturidiyyah. Kemudian barulah buat kesimpulan bahawa pengajian tauhid mereka dipengaruhi falsafah Greek lama jika benarlah begitu. Oleh itu, selayaknya dakwaan Dr. Mohd Asri itu dianggap suatu fitnah ke atas al-Asha^irah al-Maturidiyyah!!

2. Dr. Mohd Asri menyatakan di atas: “…yang kadangkala perbincangannya tidak membawa tidak membawa sebarang kekuatan kepada akidah…”. Oleh kerana masalah yang cuba diutarakan oleh Dr. Mohd Asri adalah masalah “kadangkala”, maka ini bukanlah suatu isu besar untuk dibahaskan sehingga seolah-olah beliau cuba secara halus dan seni untuk mengajak umat Islam meminggirkan atau membuang pengajian tauhid al-Asha^irah al-Maturidiyyah.

3. Adakah dengan dinyatakan bahawa Allah ada lawannya tiada dan selanjutnya, lalu dikatakan bahawa ini kecelaruan dan memenatkan akal? Sedangkan ini suatu yang jelas bahawa kata antonim (kata yang berlawanan makna) bagi kalimah ada ialah tiada dan selanjutnya… Jadi, siapakah yang membawa kecelaruan dalam isu ini? Sebenarnya, dalam pengajian tauhid al-Asha^irah al-Maturidiyyah tidak ada kata-kata Allah ada lawannya tiada dan selanjutnya, bahkan yang ada ialah Allah wajib ada dan Allah mustahil tiada dan selanjutnya kecuali dalam beberapa kitab kecil atau risalah ringkas.

4. Sewajarnya orang yang tidak faham tidak layak menjadi guru dalam apa jua ilmu pun, apatah lagi dalam ilmu tauhid! Dakwaan Dr. Mohd Asri di atas sepatutnya beserta dengan bukti yang menunjukkan guru tersebut benar-benar wujud seperti nama guru tersebut, tempat kejadian dan tarikh dan masa kejadian supaya dia dapat dihalang dari mengajar orang lain tentang perkara yang dia sendiri tidak faham. Jika tidak, maka itu sekadar cerita rekaan Dr. Mohd Asri sebagai pendekatan halus untuk mencampakkan pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah dari umat Islam. Jikalah guru yang tidak faham itu benar-benar wujud, maka kemungkinan dia bukan dari kalangan ulama al-Asha^irah al-Maturidiyyah dan mereka menyamar sebagai guru yang mengajar ilmu tauhid sebagai cara halus untuk menimbulkan kekeliruan dan keraguan terhadap ilmu tauhid tersebut.

5. Adakah Dr. Mohd Asri mahu mengatakan bahawa ulama muktabar yang berpegang dengan pendekatan ilmu kalam tidak mengajar aqidah tauhid yang sebenar atau beliau mahu mengkafirkan mereka? Adakah Dr. Mohd Asri menganggap selama ratusan tahun aqidah tauhid yang telah pun disampaikan oleh para ulama ke seluruh kepulauan Melayu bahkan seluruh dunia bukan aqidah sebenar? Adakah Dr. Mohd. Asri menganggap bahawa umat Islam di seluruh dunia ini tidak berpegang dengan akidah sebenar kecuali mereka yang mengikut ajaran Wahhabiyyah yang diasaskan oleh Muhammad ibn ^Abdul-Wahhab?

(4) Dalam ruangan Pena Mufti dalam Utusan Malaysia yang bertajuk Mudahkan pendekatan Islam, jangan ekslusifkannya, Ahad 5 Ogos 2007 Dr. Mohd Asri menyatakan:
“Pendekatan yang menyukarkan ini berlarutan sehingga dalam pengajian aqidah. Sesetengah perbincangan dipengaruhi falsafah lama yang kadang-kala tidak membawa kekuatan kepada akidah, bahkan kepada kepenatan akal dan kecelaruan.
Ini seperti Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, melihat lawannya buta, tidak berjisim, tidak berjirim dan seumpamanya. Kemudian diikuti dengan falsafahnya yang memeningkan. Sehingga guru yang mengajar pun tidak faham. Untuk mengelak guru dipersoalkan pelajar, guru itu akan berkata: “Siapa banyak bertanya maka lemah imannya…”.
Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada? Akidah sebenar hilang dalam kepincangan perbahasan falsafah.
Akidah Islam adalah bersih dan mudah difahami. Bacalah al-Quran dan al-sunah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlas, al-Quran menyerlahkan konsep akidahnya, tidak perlu menyukarkan.” Intaha.

Sanggahan:

1. Sekali lagi Dr. Mohd Asri nengemukakan dakwaan tanpa sebarang bukti. Dr. Mohd Asri hanya sekadar berprasangka buruk dengan berkata: “Maka tidak hairanlah jika yang baru menganut Islam kehairanan bertanya: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?. Ini sekadar “jika” bukannya benar-benar berlaku. Kemudian, kata-kata ini: Mengapa Tuhan itu ada, selepas lawan maka Dia sudah tiada?..” Ini mungkin suatu rekaan Dr. Mohd Asri yang mungkin juga menjadi unsur kecindan atau jenaka yang cuba diselitkan dalam tulisannya dan adalah satu pendekatan halus dan seni untuk mencemuh pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah al-Maturidiyyah. Dakwaan Dr. Mohd Asri ini dapat disangkal dengan bukti yang telah dilaporkan di ruangan Nur Ilahi, berjudul Bekas Pembantu Paderi Katolik Kagum Dengan Sifat 20 dalam majalah al-Islam Julai 2009, halaman 39:
“…Di ulang tahun kelahirannya, Alif menerima hadiah berupa sebuah buku yang bertajuk Sifat 20. “Saya berasa terlalu gembira menerima hadiah itu. Bagaikan orang dahaga diberikan air sememangnya saya benar-benar ingin mengetahui dan mengenali sifat-sifat Allah. Sebaik sahaja saya membaca buku tersebut, hati saya berasa begitu kagum sekali dengan Allah. Rupanya baru saya tahu Allah itu esa dan tunggal tidak seperti Kristian yang berpegang kepada konsep triniti. Saya hayati sifat-Nya dan saya bandingkan dengan Jesus dan ternyata Allah itu Maha Suci dan Maha Agung”, katanya.” Intaha.

Sebenarnya sifat-sifat wajib bagi Allah, sifat-sifat mustahil bagi-Nya dan sifat harus bagi-Nya yang dibicarakan dalam pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah adalah ringkasan bagi keseluruhan isi ayat-ayat al-Quran yang membicarakan sifat Allah taala. Ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah seperti al-Imam Abul-Hasan al-Ash^ari dan para pengikutnya al-Asha^irah serta al-Imam Abu Mansur al-Maturidi dan para pengikutnya al-Maturidiyyah telah membuat ringkasan ini sebagai usaha untuk memudahkan umat Islam memahami tauhid yang terkandung dalam al-Quran. Hanya segelintir manusia yang mampu membaca dan lebih-lebih lagi memahami keseluruhan ayat al-Quran. Pengajian aqidah secara kalam di sisi Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah al-Asha^irah al-Maturidiyyah tidak mengubah kandungan ajaran aqidah Islam, tidak menyukarkan atau mengaburkan pengajian aqidah tauhid, bahkan tidak meminggirkan al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan, pengajian tauhid Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah itu mengambil intipati atau isi al-Quran dan al-Sunnah itu sendiri. Oleh sebab bukan semua mampu menghafaz dan menguasai semua ilmu yang terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis, maka sebahagian ulama Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah menyusun ilmu aqidah yang ada dalam kedua-dua sumber tersebut dalam bentuk sistematik bagi memudahkan orang awam memahami aqidah dengan lebih cepat dan tepat. Sebagaimana ilmu hukum hakam yang telah disusun oleh ulama mujtahidin dalam bentuk sistematik berbentuk kitab bagi memudahkan orang awam memahami cara ibadah dan mualamah dengan betul seperti yang dianjurkan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hal yang sama juga berlaku kepada ilmu-ilmu Islam yang lain seperti ilmu usul fiqh contohnya adanya penyusunan perbahasan tentang ijmak dan qiyas, ilmu al-Quran contohnya adanya penyusunan ilmu tajwid dan qiraat dan ilmu al-Sunnah contohnya dengan penyusunan ilmu mustalah hadis dan al-jarh wal-ta^dil. Adakah semua ilmu yang disusun oleh para ulama muktabar ini boleh dianggap membelakangkan al-Quran dan al-Sunnah? Tentu sekali tidak! Bahkan usaha penyusunan ilmu-ilmu Islam itu seperti ilmu tauhid adalah suatu usaha untuk memudahkan umat Islam memahami al-Quran dan al-Sunnah dan juga menjaga ketulenan ajaran yang terkandung dalam kedua-dua sumber utama tersebut…

Lihatlah meskipun ilmu-ilmu yang berkaitan al-Quran misalnya seperti ilmu tajwid, ilmu qira’at, ilmu tafsir dan seumpamanya itu bukanlah ilmu fard ^ayn yang biasanya mampu dipelajari oleh segolongan manusia yang mempunyai daya akal yang kuat, ia tetap disusun oleh ulama muktabar bagi memudahkan para penuntut memahami al-Quran dan al-Sunnah. Maka apatah lagi ilmu aqidah tauhid yang bertahap fard ^ayn, sewajarnya disusun agar dapat mudah dan cepat difahami oleh semua orang yang semestinya tahap akal mereka berbeza-beza?..

(5) Terkini, Dr. Mohd Asri mengulangi lagi fitnahnya yang sama dalam Mingguan Malaysia, Ahad 6 Jun 2009:
“Akidah adalah teras Islam. Akidah Islam itu mudah dan jelas. Semudah dan sejelas akidah dalam Surah al-Ikhlas. Sesiapa yang membaca al-Quran seperti Surah al-An’am akan mendapati kejelasan akidah Islam. Ia tidak berbelit-belit seperti sukatan yang mengajar sifat Allah dengan menghafal; Allah ada lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta. Ramai yang muallaf dan bukan muallaf tidak jelas mengenai akidah dan mudah ‘menukar agama’ walaupun menghafal sukatan ini. Ini kerana sukatan tersebut adalah ajaran falsafah yang tidak sekukuh akidah yang mudah dan jelas yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Kita perlukan tajdid dalam hal ini.”. Intaha.

Sanggahan:

1. Apakah yang berbelit-belit dalam pengajian aqidah secara ilmu kalam? Kalaulah ungkapan Allah ada lawannya tiada dan seterusnya itu berbelit-belit adalah suatu pembohongan dan fitnah semata-mata! Ungkapan “Allah ada lawannya tiada” dan seterusnya itu adalah dalam bentuk bahasa yang mudah, amat jelas dan tak berbelit-belit pun. Namun, perlu diingatkan bahawa semua ilmu hendaklah diambil secara talaqqi termasuk ilmu tauhid bagi mengelak salah faham dan kekeliruan.

2. Sepatutnya Dr. Mohd Asri membuat kajian tentang faktor muallaf dan bukan muallaf ramai yang tidak jelas mengenai aqidah dan mudah tukar agama walaupun menghafal sukatan pengajian aqidah secara ilmu kalam Ahlis-Sunnah wal-Jama^ah dan kemukakan kes dan statistiknya jika benarlah mereka menghafal sifat-sifat tersebut!

WaLlahu a^lam…

Rujukan: http://www.al-dununiyy.blogspot.com/

2 Responses

  1. Apa yang ustaz bicarakan lebih mengelirukan.Saya kira munkin ustaz iri hati kerana orang sekarang lebih faham apa yang diajar oleh Dr Asri.Sudahlah ustaz .Belajar lah lagi sebelum buat komen.Dah mual mendengar komen2lapok yang ustaz utarakan.

  2. Salam. Komen ustaz pun ada kelemahan. Antaranya mengaitkan tempat belajar UIA dengan ‘kemungkinan’ terkesima(?) dengan Anwar. Elakkan kesimpulan simplistik yg lemah seperti ini wahai ustaz. Lagipun Anwar bukan pengasas UIA. Sila buat kajian lanjut.

    ikhlas,Saadiah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: