PERJUANGAN ‘BANGSA’ HALAL DI SISI AGAMA

Tujuan tulisan ini sekadar sebagai membawa hujjah kepada keutamaan menyatukan Umat Islam khususnya bangsa Melayu di atas satu agenda perjuangan, bukan hendak berdakwah kepada memuja Melayu, bangsa dan menindas golongan lain. Seruan memperjuangkan hak-hak Melayu berlandaskan Asobiyyah Jahiliyyah adalah bertentangan dengan aqidah saya.

Isu ini saya ketengahkan sekadar untuk memberikan hak-hak kaum keluarga dalam dakwah, sanak saudara dan bangsa yang menjadi tanggungjawab utama untuk di islahkan. Hujjah yang saya bawa sekadar untuk menunjukkan bahawa Islam tetap meraikan situasi naluri kemanusiaan yang mencintai keluarganya dan tidak  bertujuan untuk berdakwah meletakkan bangsa mengatasi Islam itu sendiri yang tidak ada khilaf padanya.

Secara fitrahnya manusia cinta dan kasihkan saudara mara, kaum kerabat dan tanahairnya. Islam yang juga agama fitrah tidak mungkin akan membiarkan naluri ini dihapuskan dan tidak digunakan bagi kepentingan Islam. Lantaran itu nabi s.a.w. mendefinasikan `asobiyyah’ yang diharamkan ialah menolong saudaranya di atas kezaliman.

Sebaliknya seseorang yang menolong saudaranya untuk memahami agama, menolong saudaranya agar mendapat pendidikan yang sempurna, menolong saudaranya agar terselamat daripada kepapaan dan menolong saudaranya daripada dizalimi adalah termasuk dalam perintah Allah Azza wa Jalla.

Menyimpulkan perjuangan seseorang untuk membangunkan identiti tadayyun (keagamaan) bangsanya dan kesejahteraan kehidupan bangsanya sebagai perjuangan `asobiyyah yang diharamkan’ adalah kefahaman yang terseleweng daripada kefahaman Islam sebenar dan pejuang yang mengatakan: “kita adalah pejuang Islam tulen” tetapi menolak isu-isu berkaitan bangsanya; agama, budaya, bahasa dan adat-adat mereka adalah perjuangan yang tidak berpijak di alam nyata.

1. Apabila Allah memerintah nabi untuk berdakwah secara terbuka Allah memerintahkan nabi memulakan dakwahnya kepada ” ‘asyirah al-aqrabin” yakni kaum keluarga terdekat.

2. Ketika Nabi s.a.w. naik kebukit Sofa dan memanggil orang-orang Arab untuk berdakwah kepada mereka nabi s.a.w. menyeru nama-nama Qabilah mereka.. ” Wahai bani Hasyim.. wahai bani.. abd Manaf..

3. Apabila nabi s.a.w berhijrah ke Madinah nabi s.a.w. mengekalkan kewujudan kaum Muhajirin dan al-Ansor.

4. Nabi s.a.w. melantik para nuqaba daripada ketua-ketua qabilah yang sedia ada dengan mengekalkan kewujudan qabilah-qabilah tersebut.

5. Apabila ketua-ketua qabilah memeluk Islam dikalangan bangsa-bangsa Arab nabi s.a.w. mengekalkan mereka sebagai pemimpin kepada kaum mereka.

6. Apabila Islam datang ke Tanah Melayu ” Empayar Kesultanan Melayu terkenal dengan namanya sebagai Kesultanan Melayu Melaka atau Tanah Jawi.

7. Pakaian Jubah yang panjang dan berserban yang menjadi tradisi Arab tidak diterapkan ke dalam tradisi pakaian kesultanan Melayu tetapi Baju Melayu berseluar dan bersampin dan bertengkolok menjadi pakaian rasmi Melayu Islam sesuai dengan realiti alam Melayu yang berbukit, berbelukar, berpaya dan bersungai yang menyukarkan si pemakai jubah untuk berjalan.

8. Nabi s.a.w. apabila berada di Madinah menitiskan airmata apabila memikirkan Mekah tanah tumpah darahnya dan nabi pernah bersabda bahwa; cintakan tanahair daripada iman.

9. Nabi Memaafkan sahabatnya Hatib bin Abi Baltaah r.a. yang menghantar surat kepada keluarganya menceritakan kedatangan tentera Islam untuk membuka Kota Mekah.. apabila alasan beliau melakukan semua itu hanya kerana kasih dan sayangkan keluarganya dan mengharapkan mereka terselamat bukan kerana mengkhianati nabi s.a.w. terutamanya apabila beliau seorang ahli Badar yang telah diampunkan dosa-dosanya dan Allah yang amat mengetahui apa yang akan dilakukannya:

Sedangkan Umar al-Khattab r.a. meminta untuk dipenggal kepalanya.

10. Ketika Sahabat-sahabat al-Ansor ingin melantik Khalifah dikalangan mereka selepas kewafatan nabi s.a.w. Abu Bakar berkata bahawa nabi bersabda ” al-Aimmah min Quraisy”… lalu mereka membaiahkan Abu Bakar al-Siddiq.

Ibn Khaldun mentafsirkan hadis ini bukan diamalkan pada “dzahir nas”… di mana Quraisy menjadi syarat mutlak untuk menjadi khalifah tetapi nas tersebut berdasarkan realiti Arab ketika itu yang menunjukkan bahawa bangsa Quraisy adalah bangsa majoriti yang memiliki asobiyyah yang kuat. Asobiyyah yang ditafsirkan oleh Ibn Khaldun adalah sokongan bantuan yang kuat sama ada moral, tenaga mahupun harta benda dalam melaksanakan siyasah Khalifah.

Oleh kerana pemerintahan Islam memerlukan sokongan, dokongan, bantuan dan pembelaan daripada pelbagai ancaman musuh maka melantik kepimpinan daripada golongan yang lebih kuat asobiyyahnya adalah menepati sunnatullah yang telah difitrahkan kejiwa manusia.

Maka apabila Bangsa Turki Uthmaniyyah memiliki sokongan padu ummah ketika itu menjadikan Khalifah Turki Uthmaniyyah adalah khalifah yang sah walaupun mereka bukan keturunan Arab Quraisy. Penafsiran Ibn Khaldun ini menjadikan khlaifah Turki Uthmaniyyah mendapat sokongan daripada seluruh umat Islam termasuk umat Islam yang mereka berbangsa Arab.

Dalam realiti Malaysia hari ini bangsa Melayu adalah bangsa majoriti jika mereka bersatu atas dasar Islam. Maka memperjuangkan kesatuan bangsa Melayu agar bersatu tidak bercanggah dengan maqasid Syarak malah menjadi aspek yang lebih utama ketika ini. Sebaliknya polisi, gerak kerja dan aktiviti yang boleh membawa kepada lemahnya kesatuan bangsa Melayu adalah haram hukumnya.

Perjuangan Islam tulen tidak akan membuang bangsanya daripada agenda perubahan. Sebaliknya membangunkan identiti Islam dikalangan anak bangsa, mengembangkan kekayaan mereka, memperbaiki akhlak mereka, memupuk kesatuan dan ukhuwwah dikalangan mereka adalah kerja-kerja gerakan Islam di mana sahaja mereka berada.

Muhammad al-Rasyid menegaskan dalam al-Masar dalam bab ” Funun al-Tajmik” bahawa para pendakwah perlu benar-benar memahami budaya masyarakatnya, sejarah pembentukan mereka, kesan-kesan negatif yang lahir akibat biah kehidupan mereka sebelum melakukan tajmik dan taygyir.

Namun bukan maksud tulisan ini ingin mengabaikan saudara-saudara seagama daripada bangsa-bangsa lain kerana nabi s.a.w. juga tidak pernah mengabaikan sahabat-sahabatnya daripada al-Habsyi, Farsi dan Romawi.

Wallahua’lam.

SUMBER : http://renungan2u.wordpress.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: