Kenapa pertikai Maulid Nabi?

 

Oleh SHEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI

 

Peserta berarak beramai-ramai sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan 1431H di Masjid Putra, Putrajaya pada 26 Februari lalu.

 

ALHAMDULILLAH sambutan umat Islam di serata pelosok dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat. Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat.

Masih banyak majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabiulawal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita.

Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.

Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid.

Pada tahun ini, suara-suara ini turut ‘menumpang’ isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di sebuah negeri. Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama yang mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid.

Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud bidaah yang sesat).

Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan.

Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan.

Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya. Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi.

Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat kita singkapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

Malangnya, sebahagian suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar.

Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya.

Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah ‘Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

Kerangka Fikir Menolak Maulid

Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu khilafiyyah.

Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama:

Pertamanya: Fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep bidaah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan bidaah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua bidaah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan bidaah ini.

Kedua: Mereka terlalu menekankan sikap Ittiba’ (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya. Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba’ dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi)Ta’dzim (mengagungkan), Tasyaffu‘ (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat), Tawassul(mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.

Ketiga: Mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid. Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana umat.

Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurang pun dikira sebagai biaah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut; “Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku.” (Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba’, Hubb, Ta’dzim, Tasyaffu’, Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Akidah/Tauhid, Syariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik.

Para pemuka ulama umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma’ Sukuti (ijma’ senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

Penulis ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

 

asal tulisan : http://www.utusan.com.my

One Response

  1. Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

    Keputusan :

    i. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

    Aspek Akidah

    a. Berpegang kepada Konsep Pluralisme

    Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

    b. Akal Manusia Adalah Wahyu

    Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

    c. Meragui Ketulinan Al-Quran

    Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

    Aspek Syariah

    a. Mempersoalkan Methodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-Hadith

    Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

    b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

    Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

    c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

    Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

    d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

    Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam.

    e. Sikap Terhadap Hukum

    Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

    ii. Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, Muzakarah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

    Sumber: Portal e-Fatwa (http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=257)

    Fahami Kewajaran Fatwa Islam Liberal

    Oleh Mohd Aizam bin Mas’ud

    Mungkin sebahagian umat Islam masih belum sedar bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang buat kali ke 74 pada 25-27 Julai 2006 yang lalu telah memutuskan pemikiran Islam Liberal adalah sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

    Bagi sesetengah umat Islam di negara ini, fatwa pengharaman Islam Liberal sememangnya agak kurang diketahui lantaran pengumumannya dibuat bersekali dengan fatwa pengharaman botox. Tidak dinafikan fatwa botox telah mendapat publisiti yang begitu meluas di kalangan media cetak dan elektronik arus perdana. Tambahan pula botox agak sinonim dengan kehidupan golongan artis atau selebriti kegilaan ramai. Ini sekaligus menenggelamkan fatwa Islam Liberal akibat terkesan dengan populariti isu botox yang hampir mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat negara ini.

    Apa yang menarik, pengharaman botox oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JKF) mendapat reaksi yang begitu positif sehingga amat jarang sekali terdengar pihak yang mempertikai mahupun menolaknya. Ia agak berlainan pula ketika respons diberikan kepada fatwa pengharaman Islam Liberal. Kedapatan suara segelintir umat Islam yang mempersoalkan kewajarannya atas dasar ia merupakan suatu bentuk pemikiran. Pemikiran pula tempatnya adalah di akal manusia. Akal pula adalah suatu yang berbentuk rohani yang tidak boleh ditangkap atau dipenjarakan. Maka, apakah kewajarannya JKF bertindak sedemikian?

    Dalam memahami kewajaran fatwa tersebut, amat tepat sekiranya umat Islam menyorot kembali saat-saat kemasukan unsur-unsur falsafah serta budaya klasik Greek dan Parsi yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Bahananya idealisme-idealisme sesat yang dahulu terpendam dek kekuatan zaman keemasan akhirnya muncul dan terus menjalar menembusi pemikiran umat Islam ketika itu.

    Antara golongan yang paling jelas terpengaruh dengan aliran ini adalah puak Muktazilah. Mereka memiliki gagasan pemikiran berteraskan keutamaan akal dan mensekunderkan teks-teks al-Qur’an dan al-Hadith. Ini ditambah pula dengan kepesatan ahli-ahli falsafah Islam yang mentafsirkan nusus-nusus agama mengikut pendekatan akal dan falsafah.

    Sebelum itu juga telah wujud aliran-aliran pemikiran kalam atau teologi Islam yang jelas terpesong daripada manhaj sebenar aqidah Islam seumpama golongan Khawarij, Murji’ah, Jabariyah, Qadariyah dan Syiah.

    Serangan-serangan ideologi dan pemikiran sebegini akhirnya telah melonjakkan sebilangan tokoh ilmuan Islam di zaman itu untuk tampil ke tengah-tengah umat bagi menjelaskan ajaran Islam yang sebenar.

    Lantaran itu lahirlah nama-nama besar seperti Imam Abu Hanifah. Beliau telah menulis kitab berjudul al-Fiqh al-Akbar dan juga risalah yang diberi judul al-Bahth ‘ ala al-Istita’ah Ma’a al-Fi’il. Kedua-dua karya berkenaan mengkritik penyelewengan fahaman Qadariyah dalam usaha menyatakan kebenaran ajaran yang dikembangkan oleh Ahli Sunah.

    Manakala Imam Syafi’ie pula telah menulis sebuah risalah bertajuk Tashih al-Nubuwwah wa al-Radd ‘ala al-Barahimah dan Risalah al-Radd ‘ala Ahl al-Ahwa. Dari tajuk-tajuk ini jelas menampakkan usaha beliau memperbetulkan dan menolak kebatilan ajaran yang berasaskan Brahminisme dan para pengikut hawa nafsu.

    Begitu juga Imam Malik bin Anas yang telah melibatkan diri dalam banyak perdebatan bagi mempertahankan ajaran Ahli Sunnah. Antaranya adalah ungkapan beliau tentang pengertian istiwa’. Beliau menjawab: Istiwa’ itu dimaklumi, caranya tidak boleh diimaginasi oleh akal, mengimaninya wajib, bertanya tentangnya tidak boleh (bid’ah).

    Tidak ketinggalan juga Imam Ahmad bin Hanbal yang menamakan bukunya Risalah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Kandungan buku ini jelas menghuraikan aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dan pada masa yang sama membicarakan pelbagai golongan yang dianggap menyimpang dan menyeleweng daripada pendekatan pemikiran Ahli Sunnah.

    Selain itu sejarah Islam juga membuktikan bahawa para khalifah Islam pernah mengharamkan bahkan bertindak tegas terhadap pembawa-pembawa fahaman yang menyeleweng daripada aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Sebagai contoh Ma’bad al-Juhani pengasas mazhab Qadariyyah telah dihukum bunuh oleh Khalifah Abdul Malik pada tahun 80 hijri. Pada zaman itu juga Imam Hassan al-Basri telah mengeluarkan fatwa menegah orang ramai menghadiri majlis yang dipimpin oleh Ma’bad al-Juhani sambil menyifatkan dia adalah seorang yang sesat lagi menyesatkan.

    Seorang lagi pengikut mazhab Qadariyyah yang dihukum mati adalah Ghailan al-Dimasyqi iaitu pada zaman Khalifah Hisham bin Abdul Malik. Pada zaman Khalifah Hisham juga baginda telah menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pembawa mazhab Jabariyyah iaitu Ja’d bin Dirham pada tahun 120 hijri. Jaham bin Safwan, iaitu murid kepada Ja’d bin Dirham juga menerima nasib yang sama apabila dia juga dijatuhi hukuman bunuh pada zaman Bani Umayyah atas arahan Gabenor Khurasan pada tahun 128 hijri.

    Manakala pengharaman buku atau kitab, ia sememangnya tidak berlaku pada zaman awal penulisan atau pengarangan kitab memandangkan ia tidak begitu relevan untuk dilakukan oleh pemerintah. Ini kerana pada zaman tersebut belum terdapat sebarang bentuk teknologi percetakan tetapi yang wujud hanyalah penulisan berbentuk penyalinan dengan tulisan tangan. Hal ini menyebabkan pengedaran ilmu melalui kitab adalah terhad berbanding penyebaran ilmu melalui majlis-majlis menadah kitab (talaqqi).

    Oleh itu tidak timbul soal pengharaman buku atau kitab di zaman Rasulullah SAW, para Sahabat mahupun di zaman Khilafah Bani Umayyah dan Khilafah Bani Abbasiyyah memandangkan tiada keperluan berbuat demikian oleh pihak pemerintah.

    Namun pada zaman ini adalah menjadi suatu kebiasaan bagi institusi agama berautoriti mengeluarkan arahan pengharaman buku-buku tertentu demi menjaga kesucian pemikiran umat Islam. Sebagai contoh Institut Kajian Islam Universiti al-Azhar yang dipimpin oleh Syeikh al-Azhar sendiri telah banyak kali mengeluarkan keputusan-keputusan rasmi mengenai pengharaman kitab-kitab tertentu yang dilihat boleh membahayakan aqidah Islam di samping boleh memecahbelahkan umat Islam.

    Hakikatnya, keputusan fatwa pengharaman Islam Liberal oleh JKF merupakan lambang kepada fungsi yang dimainkan oleh kerajaan sebagai pemerintah Islam yang diamanahkan untuk menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar.

    Bagi golongan pemerintah Islam mereka bertindak berasaskan konsep siyasah syar’iyyah iaitu demi menjamin kesucian agama di samping membangunkan urusan dunia (hirasat al-din wa ‘imarat al-dunya). Melalui konsep tersebut maka pengharaman pemikiran-pemikiran tertentu adalah salah satu cara yang digunakan oleh pemerintah demi menyekat jalan-jalan (sadd al-zari’ah) yang boleh merosakkan aqidah dan pemikiran umat Islam.

    Memang diakui bahawa pemikiran adalah hak asasi setiap individu yang berakal. Ia sekali-kali tidak boleh disentuh atau diusik walau diperlaku bagaimana sekalipun. Namun bukankah dengan pemikiran lahirnya segala tingkah laku dan amal perbuatan. Jika tidak masakan hadith Rasulullah SAW mengatakan:

    Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat.”

    Oleh kerana itulah maka Islam sedari awal telah menolak setiap pemikiran atau niat yang menyeleweng kerana ia sudah tentu melahirkan perbuatan yang sama jua.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: