Penjelasan Hukum Ziarah Rasulullah Dan Masjid Nabawi

Ziarah Rasulullah

PADA setiap tahun umat Islam berbondong-bondong menuju ke Madinah al Munawwarah. Ada yang pergi atas dasar menziarahi negeri Hijrah Rasulullah, ada pula untuk ke Masjid Nabawi bagi mendapat kelebihan pahala menunaikan solat di dalamnya.

Walau apapun lafaz yang digunakan, pemergian mereka ke Madinah pada hakikatnya adalah untuk menziarahi Rasulullah SAW. Kerana tanpa Rasulullah SAW, Madinah tidak akan menjadi negeri yang dicintai dan dirindui oleh umat Islam.

Tanpa baginda, solat di masjid tersebut juga tidak memberikan perbezaan jumlah pahala berbanding masjid-masjid yang lain.

Tanpa jasad Rasulullah SAW di masjid tersebut juga, ia tidak memberi ingatan dan keistimewaan yang hebat di hati dan fikiran umat Islam hingga mengajak mereka menziarahi Madinah al Munawwarah.

Hari ini juga kita mendapati ramai di kalangan umat Islam melakukan kesilapan dalam memahami sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak boleh bermusafir melainkan ke tiga buah masjid Masjid al Haram, masjid saya ini dan Masjid al Aqsa.”

Mereka menjadikan hadis ini sebagai dalil pengharaman bermusafir untuk menziarahi kubur Rasulullah SAW dengan menganggapnya suatu kemaksiatan.

Penggunaan dalil ini bagi tujuan tersebut adalah tertolak dan tidak diterima, kerana ia dibina atas kefahaman yang salah. Hadis ini pada hakikatnya membincangkan maksud yang lain dan tiada kaitan dengan permasalahan kubur.

Sesungguhnya hadis: “Tidak boleh bermusafir melainkan ke tiga buah masjid” adalah yang dilafazkan dengan satu gaya bahasa yang dikenali sebagai gaya bahasa pengecualian (Uslub al Istisna’). Makna yang lengkap pada hakikatnya ia membawa maksud seperti berikut: “Tidak boleh bermusafir ke … melainkan ke tiga buah masjid.”

Ahli tatabahasa Arab menyatakan bahawa ayat seumpama ini perlu ditetapkan perkataan yang sesuai di tempat kosong tersebut yang bertepatan dengan makna ayat bagi memberikan kefahaman yang jelas.

Oleh kerana itu, kekosongan itu perlu diandaikan seperti mana yang telah disepakati oleh para pakar tatabahasa Arab untuk mencari keserasiannya.

Pengandaiannya hanya terbatas kepada tiga andaian sahaja:

Pertama:

Sesetengah golongan menyatakan bahawa hadis ini merupakan larangan bagi menziarahi kubur Nabi SAW. Jika benar dakwaan mereka, kita andaikan kekosongan itu diisi dengan perkataan kubur, lalu ia menjadi seperti berikut: “Tidak boleh bermusafir ke kubur melainkan ke tiga buah masjid.”

Kita dapat melihat sendiri bahawa pengandaian ini adalah suatu yang aneh untuk diterima dan tidak mungkin seseorang yang waras boleh menerimanya.

Bentuk hadis yang sebegini secara zahirnya menunjukkan tiadanya kesinambungan dan keserasian serta ini tidak selayaknya dinisbahkan kepada kefasihan dan keindahan bahasa Rasulullah SAW.

Kedua:

Diandaikan apa yang kekosongan lafaz dalam hadis ini dengan satu perkataan yang umum iaitu lafaz mana-mana tempat. Maka ia menjadi seperti berikut: “Tidak boleh bermusafir ke mana-mana tempat melainkan ke tiga buah masjid.”

Ia juga tidak boleh diterima akal kerana ia membawa maksud tidak boleh seseorang bermusafir untuk urusan perniagaan, mencari ilmu, ziarah-menziarahi dan lain-lain lagi. Maka ini adalah satu bentuk kebingungan yang amat jelas.

Ketiga:

Diandaikan apa pula kekosongan lafaz dalam hadis ini dengan lafaz masjid, maka ia menjadi seperti ini: “Tidak boleh bermusafir ke masjid melainkan ke tiga buah masjid.”

Kita dapat melihat bahawa kata-kata ini ada kesinambungan dan keserasiannya. Ia juga berada dalam gaya bahasa yang fasih. Dengan ini, semakin tenggelamlah kecelaruan yang jelas pada dua andaian yang terawal serta kefasihan andaian ketiga ini sesuai untuk dinisbahkan kepada Rasulullah SAW .

Mereka yang berkecimpung dalam bidang hadis juga telah mendapati beberapa riwayat yang diterima dan menjelaskan tentang apakah sebenarnya perkataan (kekosongan lafaz) dari hadis pertama tadi. Antaranya, hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada riwayat Syahr ibnu Hausyab, dia berkata: Saya mendengar Abu Sa’id berkata ketika disebut kepadanya tentang solat di atas bukit al Tur, maka katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sepatutnya bagi orang yang menunggang binatang tunggangan itu bermusafir ke masjid untuk menunaikan solat melainkan Masjid al Haram, Masjid al Aqsa dan masjid saya.”

Antaranya juga, hadis riwayat Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya adalah penutup segala Nabi, dan masjid saya adalah penutup semua masjid para Nabi, masjid-masjid yang paling berhak untuk diziarahi dan menjadi tujuan permusafiran ialah Masjid al Haram dan masjid saya, satu solat yang ditunaikan di dalam masjid saya lebih baik daripada seribu solat yang ditunaikan di mana-mana masjid melainkan Masjid al Haram.”

Sabda Rasulullah SAW ini menerangkan kepada umat bahawa masjid yang selain daripada ketiga-tiga masjid ini adalah sama taraf. Maka tiada faedah untuk bersusah payah bermusafir ke masjid selain tiga masjid ini hanya untuk menunaikan solat. Manakala masjid-masjid yang tiga ini, ia mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti yang diketahui ramai.

Persoalan kubur tidak termasuk di dalam hadis ini, maka menjatuhkan hukum haram menziarahi kubur Nabi SAW dengan hadis ini dikira sebagai suatu pendustaan terhadap baginda.

http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20120911/ba_01/Ziarah-Rasulullah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: