FATWA BERHUBUNG GST

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 – 22 Oktober 2014 telah membincangkan Kajian Terhadap Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.

2. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:

i. Sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar’iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.

ii. Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak adalah diharamkan. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan.

iii. Sebahagian ulama iaitu Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi’i, al-Syatibi, Ibn Khaldun, ulama semasa Mahmud Syaltut dan Ahmad al-Raysuni membenarkan Kerajaan untuk mengenakan cukai kepada rakyat sekadar untuk memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.

iv. Majoriti para ulama berpandangan Kerajaan haram mengutip cukai daripada rakyat. Namun jika terdapat keperluan yang mendesak, maka Kerajaan dibenarkan mengenakan cukai bagi memenuhi maslahah umum rakyat berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah:

الشريعة وضعت لمصالح العباد ودرء المفاسد عنهم
“Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahah manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka”.

3. Berdasarkan dapatan kajian yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa apabila Kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahah umum tidak dapat dilaksanakan oleh Kerajaan. Oleh itu, berdasarkan Qaedah Fiqhiyyah يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ (Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum), Kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.

4. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Islam mengharuskan pemerintah atau Ulil Amri untuk mengutip cukai seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia selagimana terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat, dan pelaksanaannya hendaklah berpandukan parameter syarak seperti berikut:

i. Kerajaan Komited Melaksanakan Syariat Islam;
ii. Kerajaan Memerlukan Sumber Kewangan;
iii. Cukai Yang Dikutip Hanya Untuk Memenuhi Maslahah Dharuriyat dan Hajiyat;
iv. Bebanan Cukai Dikutip Secara Adil;
v. Cukai Dibelanjakan Untuk Maslahah Ummah Bukan Untuk Maksiat;
vi. Agihan Cukai Hendaklah Bertepatan Dengan Ijtihad Ulama Semasa dan setempat.

Kajian Terhadap Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) | Portal Rasmi Fatwa Malaysia
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kajian-terhadap-cukai-barangan-dan-perkhidmatan-gst

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: