Kenyataan Media ASWAJA Jawab Presiden ISMA

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) mengambil maklum mengenai penyiaran artikel ‘Perbalahan Wahabi ASWAJA tidak sihat untuk masyarakat- Presiden ISMA’. Saya cuba bertabayyun dgn beliau tetapi tiada sebarang respon yang diberikan hingga saat ini. 
Bagi ASWAJA dakwaan berlaku ‘perbalahan’ adalah tidak tepat sama sekali. ASWAJA selaku NGO Islam ditubuhkan bukan untuk mencetuskan perbalahan, malah kami bertekad menjaga syiar Islam daripada dicemari fahaman yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) arus perdana. Ia sbgmana yang termaktub dalam Fatwa Kebangsaan, Fatwa Negeri dan Akta/Enakmen Pentadbiran Islam Negeri. 
Kehadiran kami adalah untuk mempertahankan serta memperkasakan akidah ASWJ Ashairah dan Maturidiyyah, mazhab Imam Shafie dan pengamalan kesufian yang muktabar. 
Perjuangan kami dalam mempertahankan akidah Islam yang bukan sahaja berdepan dengan aliran Wahabi, Syiah, pluralisme Agama dan LGBT malah ASWAJA turut aktif berhadapan dengan golongan sesat Millah Abraham, Hizbut Tahrir, ajaran Ayah Pin, ajaran Hj Kahar, komunis, pengganas Sulu, Pengganas Daesh dan golongan murtad melalui muzakarah, forum dan program deradikalisasi berkala.
Selain itu kami juga turut bekerjasama menjayakan program dakwah JAKIM, MAIS, MAIM, JAIS, Jabatan Mufti Johor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Mufti Pahang, Jabatan Mufti Kedah, Jabatan Mufti N9, Muzakarah dgn Mufti Wilayah, memperjuang isu RUU 355 dan mempunyai jalinan baik beberapa Kementerian dan gabungan NGO Islam yang lain. 
Justeru, dakwaan Presiden ISMA bahawa kami ‘bergaduh’ dengan Wahhabi adalah sangat tidak tepat. Ia kelihatan setara dengan kenyataan Dr. Rozaimi baru-baru ini yang mendakwa ASWAJA sealiran dengan HINDRAF dalam membantah ceramah DZN. Ia jelas satu kenyataan yang cukup melulu dan berprasangka. 
Sewajarnya pihak ISMA mengkaji motif dan aspirasi perjuangan ASWAJA sebelum mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan umat Islam. 
Perjuangan kami sebenarnya bertepatan dengan keputusan Majlis Fatwa sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, khususnya berkaitan larangan penyebaran Wahhabi di Malaysia. Majlis Fatwa Kebangsaan telah bersidang melebihi 12 kali dan memutuskan fahaman Wahhabi tidak sesuai disebarkan di Malaysia dan hendaklah disekat kerana boleh mendatangkan perpecahan di kalangan awam. 
Manakala terdapat 5 negeri telah memfatwakan bahawa fahaman Wahhabi bertentangan dan bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Belum lagi dikira dgn fatwa2 luar negara. Rujuklah fakta dengan mata hati bukannya dengan tekanan emosi. 
Memandangkan ASWAJA dan ISMA hidup berjiran di Bandar Ilmu Bangi, kedua-duanya memperjuangkan ASWJ dan menolak fahaman Wahhabi, maka ASWAJA dengan perasaan rendah diri mempelawa pihak ISMA untuk bermuzakarah, berdialog ataupun ‘bermesra’ bagi mengenali dan memahami aspirasi perjuangan masing2 secara jelas agar kita tidak membuat andaian yang bersifat keliru dan rancu. 
Oleh itu pertemuan secara bersemuka adalah jalan terbaik bagi mendapatkan penjelasan dan menjernihkan keadaan serta merapatkan ukhuwah sesama NGO Islam di Malaysia. Pintu ASWAJA sentiasa terbuka buat ISMA dan buat sesiapa pun termasuk penganut ajaran Wahhabi, Syiah, Liberalisme agama dan yang sewaktu dengannya.
KITA DEDAH DEMI AKIDAH
Ustaz Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari.

Presiden ASWAJA

8hb Febuari 2017. Jam 11 pg.