Kenyataan Media ASWAJA desak Shahidan Dihukum Derhaka Raja Perlis

KENYATAAN MEDIA

1. Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) amat kesal dengan ‘penderhakaan’ ADUN BN Perlis yang diketuai Datuk Seri Shahidan Kassim terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai.

2. Tindakan DS Shahidan yang menjadi penghasut terhadap ADUN BN yang lain demi mencapai matlamat politiknya jelas tidak menghormati institusi Diraja dan biadab terhadap pucuk pimpinan UMNO yang merestui Datuk Seri Azlan Man menjadi Menteri Besar Perlis selaras dengan perkenan DYMM Tuanku.

3. Sehubungan dengan itu, DS Shahidan dilihat wajar untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi UMNO/BN Perlis. Malahan akar umbi UMNO pun jelas mengalu-alukan perletakan jawatan beliau bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku semenjak 2008 lagi.

4. Alangkah besar dosanya apabila seorang pemimpin politik menyekat hajat sekalian hamba rakyat dan menderhakai Baginda Raja yang bertindak sebagai ketua agama Islam di negeri berkenaan.

5. Umum mengetahui bahawa DS Shahidan merupakan individu yang pernah mengaku berpegang dengan fahaman Wahabi dan perlakuannya menjadi contoh yang tidak baik bagi sahsiah dirinya juga kepada ajaran fahaman berkenaan. Jika isu ini tidak ditangani dengan berhikmah kemungkinan ia boleh memberi kesan kepada keharmonian umat Islam di negeri itu.

6. ASWAJA melihat kebiadaban DS Shahidan selaku Pengerusi BN Perlis tidak boleh dipandang ringan. MT UMNO sewajarnya menggugurkan beliau daripada parti itu bagi menjernihkan keadaan dan memulihkan imej parti.

7. Sedarlah bahawa UMNO/BN yang tewas teruk pada PRU14 lalu kini dalam proses pemulihan dan pastinya tidak memerlukan pemimpin yang angkuh sedemikian rupa. Pemimpin sebeginilah yang membuatkan masyarakat meluat dan akhirnya menolak UMNO/BN. Bersedia ubah atau tunggu untuk diubah!

Ustaz Dr. Zamihan Mat Zin al Ghari.

Presiden ASWAJA
28 Mei 2018