PAS, Ikhwanul Muslimin dan Imam Hassan Al Banna – analisa orang besar JIM

Saya menulis artikel ini ketika berada di kampung, selepas menempuh perjalanan panjang 9 jam dari KL – Kelantan. Perjalanan memakan jarak 470 km dengan minyak mencecah RM 100 ( RM 80 sebelum kenaikan minyak ) adalah perjalanan tidak dirintangi sangat kesibukan kenderaan berpusu pusu pulang ke kampung untuk berhari raya. Ini kerana perjalanan melalui Dabong – Jeli memudahkan dan mengelakkan kami sekeluarga terperangkap dengan deretan kereta yang kami juga tempuhinya di dua tempat, Bentong dan sempadan Pahang – Kelantan.

 

Pulang beraya adalah kesempatan terbaik bersama keluarga dan saya merasa sangat gembira selepas sekian lama ( dari Mei ) tidak dapat pulang ke kampung bertemu muka dengan adik beradik dan ibu bapa. Dan peluang merehatkan minda dari kesibukan kerja dan tugas.

 

Namun ia sukar dicapai jika diri sudah terbiasa dengan rutin harian yang padat dan sibuk. Sebagai blogger saya juga perlu berada sepanjang masa ( baca : lapang ) mengemaskini blog saya dari segi bahan dan paparan agar sentiasa menarik dan berinformasi.

 

Kedudukan jauh dari bandar menjadikan kerja terbengkalai dan apa yang saya lakukan ialah membaca dan menulis apa yang dibaca sambil menikmati hidangan lagu arab ( yang kebetulan juga diminati isteri saya juga ).

 

Mungkin saudara/i tidak pernah mendengar nama penyanyi seperti Diana Haddad, Nancy Agram, Kazem Saher, Mohyi, kecuali nama seperti Elise dan Haifa yang ‘panas’ dengan gosip mereka yang dibaca manusia seluruh dunia termasuk kita yang tidak mengenalinya sedikitpun.

 

Muzik arab mungkin terlalu janggal dengan telinga saudara namun saya merasa ‘amat dekat’ apatah lagi pengalaman pernah berada di negara Arab menjinakkan hati saya menikmati selepas beberapa tahun bersama mereka siang malam dan di mana mana saja. Mereka juga mengalami perubahan mengikut peredaran zaman walaupun agama tetap dipertahan menjadi teras kehidupan.

 

Mungkin bagi pelajar kuliyyah bahasa Arab Fusha di Malaysia tentu tidak dapat meneka lirik lagu arab tersebut memandangkan pengucapan mereka di dalam lagu lebih digunakan ‘amiyyah ( loghat daerah ) berbanding loghat Fusha ( rasmi ). Seperti orang Negeri 9 yang lebih mudah bertutur dalam loghat mereka sendiri meskipun pertuturan dalam bahasa Melayu standard tidak sama bahkan jauh berbeza dibandingkan antara kedua duanya.

 

Saya bukan menulis artikel ini untuk menceritakan ‘mood hari raya ‘ tetapi ingin mencuri sedikit tumpuan saudara berkenaan Parti PAS dan Ikhwanul Muslimin menerusi satu artikel bertajuk PAS BUKAN GERAKAN SEMBARANGAN wawancara Wasilah dengan Timbalan Pengerusi JIM Ustaz Alias Othman.. Muka surat 20-21 Akhbar Wasilah terbitanMELI MEDIAPLUS ( milik penulis politik dan sastera : Ramly Ab Halim – yang juga merupakan seorang blogger aktif menulis di blognya : http://melikapakjangak.blogspot.com )

 

Ini kerana beliau merupakan seorang ahli akademik yang mahir berkenaan Ikhwanul Muslimin dan sering memberi ceramah tentang IM yang telah berjaya di dalam sejarahnya menjadi gerakan dakwah hebat yang dikagumi ramai hasil perancangan pengasasnya Imam Hassan Al Banna. IM sekarang adalah versi baru yang telah diubahsuai dengan fahaman baru seperti salafi ala wahabi sehingga ia dianggap ancaman oleh Kerajaan Mesir..Saya difahamkan tindakan meletakkan tentera oleh kerajaan Mesir di kedudukan kedudukan strategik bandar Kaherah adalah demi mengekang kegiatan terroris Ikhwanul Muslimin yang pernah barangkali membuat gerakan bersenjata dan berbahaya kepada keselamatan awam..

 

Mengikut kefahaman saya Ikhwanul Muslimin ( IM ) adalah gerakan berorientasikan sufi. Mereka mengamalkan Ma’thurat ( wirid ayat ayat Al Quran ) yang dibagi ijazah umum kepada anggota IM yang berasal dari amalan tariqat popular di sana. Bahkan gerakan dakwah IM pada awalnya tidak melibatkan gerakan politik namun ia diijtihadkan oleh anak buah pengasas IM ; Imam Hassan Al Banna bahawa IM perlu menjadi parti politik sehingga hari ini IM menjadi salah satu parti utama di Mesir yang mengancam parti utama Mesir pimpinan Husni Mubarak…

 

Fakta menarik yang saya perolehi dari wawancara tersebut ialah IM sebenarnya menolak tindakan berparti pada awalnya. Kerana mereka berpendapat position, tenaga manusia dan prasarana terlebih dahulu. Bagi Al Banna politik akan membawa perpecahan dan orang politik akan menggunakan apa sahaja samada cara mulia atau hina bagi mendapatkan kuasa. Kata Ust Ilyas Othman dalam wawancara tersebut, Imam Hassa Al Banna berpendapat lebih bijaksana tindakan berparti diambil selepas gerakan sudah sampai ke peringkat mampu mengendalikan kegiatan politik. Selagi ia tidak mampu lebih baik ia tidak berparti.

 

Pendirian Imam Al Banna telah diubah oleh anak buahnya sendiri. Inilah barangkali pada pendapat saya yang menjadi punca ia telah mengorbankan kesucian gerakan dakwah IM yang pada awalnya sangat berjaya dengan pembinaan hospital, kedai runcit, institusi pendidikan dan berbagai bagai prasarana untuk kebajikan umat Islam di Mesir. Gerakan dakwah mereka meliputi semua peringkat umur dan darjat termasuk yang berhibur di disko sehingga kita lihat ramai telah berubah ekoran gerakan dakwah ahli agama tanpa terlibat dengan politik kepartian. Itulah barangkali yang cuba ditiru kembali oleh Al Arqam ( sekarang Rufaqa) sehingga mereka bersedia membuat persembahan di disko dalam misi mengajak manusia menuju Allah dan mereka tidak bersedia bercakap isu hudud kerana sedar masyarakat masih jauh dari Allah dan jiwa dan hati masih keras untuk mempraktikkan keseluruhan agama dengan sempurna.

 

Sebab itu IM semakin ditolak rakyat Mesir dan mereka dirasakan sebagai ancaman baru kepada keselamatan negara Mesir sehingga ramai telah ditangkap dan menimbulkan perbalahan antara kerajaan dan pengikut IM sendiri…Bahkan banyak pembaruan dan penambahan dibuat sehingga tidak lagi menjadi gerakan seperti awal kemunculannya di sana.

 

Begitu juga PAS yang telah jauh berbeza zaman ini. Kecelaruan politik PAS semakin hari semakin nyata dengan ramai telah menjadikan politik lebih utama dari agenda menerapkan kesedaran beragama kepada rakyat Malaysia. Mereka sekarang telah menggadaikan prinsip perjuangan Islam demi memenuhi tuntutan rakan dari PKR yang telah menjadi perunding antara dua ideologi jauh berbeza seperti DAP dengan PAS yang mana ini merupakan kali kedua PAS menjalinkan kerjasama dengan DAP yang secara terang terangan menolak Negara Islam PAS atau usaha ke arah itu.

 

Dulu PAS mengutuk sekeras kerasnya cara politik UMNO yang dikatakan berkawan rapat dengan bukan Islam dan meletakkan hukum KAFIR kepada parti Melayu Islam tersebut. Mereka juga meletakkan hukum sama kerana UMNO didakwa menolak hukum Allah seperti HUDUD dan ia dijadikan modal perjuangan PAS sehinggalah mereka menjadi kerajaan di Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang dan berjaya menjadi MB di negeri seperti Kedah dan Perak. Namun apa yang diperjuangkan tidak dapat dilaksanakan meskipun kuasa sudah berada di tangan mereka sekarang ini. Ibarat meludah ke langit terkena muka sendiri.

 

Ironinya mereka melakukan percaturan politik yang membuahkan hasil yang hebat tersebut hasil dari kerjasama dengan sebuah parti yang berbilang bangsa dan agama seperti PKR yang tidak menentu hala agama dalam dirinya, dan juga DAP yang jelas merupakan adik kepada parti PAP di Singapura yang jelas bersikap perkauman dan anti Islam. Seperti kes terjadi kepada Teresa Kok yang menjadikan tulisan jawi, laungan azan dan peruntukan zakat sebagai agenda politiknya. Akhirnya politik yang ‘keras hati’ terhadap larangan undang undang yang melarang sebarang tindakan menyentuh isu agama Islam dilanggar dan akhirnya ISA telah menjadi imbuhan kepada beliau sehingga ditahan selama seminggu.

 

Apa yang hendak ditekankan di sini bahawa PAS menzahirkan dirinya ada hubungan istimewa dengan Ikhwanul Muslimin yang begitu kuat hubungan antarabangsanya dan PAS selalu merujuk persoalan politik kepada mereka, namun PAS terlupa memandang seketika kepada kisah lampau perkembangan awal ikhwan seperti yang dijelaskan di atas. Di mana pengasas IM sendiri mengatakan gerakan politik tidak perlu selagi mereka belum bersedia dengan position tenaga manusa dan  prasarana terlebih dahulu.  Sememangnya persediaan sangat diperlukan jika ingin ditegakkan gerakan politik tersebut. Bahkan lanjutan dari gerakan politik tentunya ke arah melaksanakan hukum Allah seperti Hudud, Qisas dan sebagainya.

 

Bagaimana perlaksanaan hukum ingin dibuat jika usaha berdakwah dipinggirkan dari kamus utama gerakan PAS. Sudahkah tiba masanya mereka kembali ke gelanggang dakwah sepenuh hati dan memberikan fahaman yang jitu sebelum mereka menggunakan saluran politik sebagai wadah mencari mandat melaksanakan hukum Islam atau negara Islam yang mereka idam idamkan ? Adakah pagar perlu dibuat terlebih dahulu atau tanaman perlu disuburkan dengan baja dan air mencukupi sebelum dibuat pagar bagi mengelakkan gangguan binatang buas atau manusia buas yang ingin mencuri hasilnya ?

 

Adakah cara dakwah Nabi bermula dengan ‘pagar’ atau ‘ baja ‘ terlebih dahulu ? Adakah perintah pengharaman arak terus dilaksanakan pada awal dakwah Rasulullah ? adakah fardhu Solat dibuat selepas Islam mula dibawa oleh Nabi di Mekah ?

 

Kita kadang kadang sukar mengakui kesilapan kita dan kita kadang kadang sangat ego dari tunduk kepada kebenaran. Keegoan itu ekoran hati yang telah terhijab dengan himpunan ilmu yang banyak dan juga pengikut yang ramai sehingga sukar untuk kita membuat ’u-turn’ selepas sekian lama kita mengikut jalan yang salah sehingga destinasi makin jauh dari pandangan.

 

Sebab itu Islam memang ramai di akhir zaman. Namun mereka semakin jauh dari ’isi’ Islam sehingga umat Islam tidak lagi mendapat pertolongan seperti mana pertolongan yang diberikan kepada Nabi s.a.w semasa awal pembukaan Islam ke seluruh dunia. Ketika itu 100 orang Islam dapat mengatasi 200 orang bukan Islam. Dan Islam berjaya meluaskan takluknya melalui ’senjata akhlak’ bukan melalui ’senjata pedang’ seperti mana yang kita dapat baca dari kisah kisah sejarah Islam cerita tersebut. Punca Islam semakin lemah kerana kita ’cintakan dunia’ dan ’takutkan mati’…

 

Apabila seluruh hidup kita menggunakan agama untuk mengajak orang menjadi pengikut dengan harapan mereka akan mengundi dan memberi kuasa @ dunia kepada kita atau jemaah Islam kita, maka ceramah dan tazkirah ketika itu akan menjadi alat menetak dan menyembelih sesiapa sahaja dengan ayat ayat dan hadis hadis. Bahkan masjid tidak lagi dihormati oleh agamawan ini dan mereka akan sewenang wenangnya memperalatkan masjid sebagai medan dakwah politik kepartian bukan medan menginsafkan ’hamba hamba ’ yang sudah jauh dari kasih sayang Allah dan perlu diubah dengan hikmah dan mauizah hasanah.

 

Akibatnya masjid menjadi tempat perpecahan dan masjid menjadi tempat ’fitnah ’timbul. Masjid sudah hilang roh Islamnya. Ulama juga hilang kehebatannya. Umat sudah hilang tempat pergantungannya. Umat akan berpecah belah. Masing masing akan mengangkat idea dan parti masing masing. Perpecahan lebih teruk tentunya ketika pilihanraya di mana masing masing mengaku merekalah pihak paling benar dan dapat menjadi wakil rakyat agar kebajikan rakyat akan terbela.


Sayang di celah celah kesibukan manusia ’cintakan dunia dan takutkan mati ’ itu kita melihat segelintir ahli agama turut sama ’mengejar bangkai’ yang tidak bernyawa dan tidak berharga di sisi Allah itu. Patutlah Nabi mengingatkan kita Dajal sebelum Dajal iaitu Ulama Suu’ yakni Ulama Jahat yang menyesatkan umat lebih awal dari Penyesat bernama Dajal.

 

Patutlah umat semakin liar kerana Ulama lupa menjadi penasihat Umara dan Umara lupa pesanan Nabi bahawa jika baik Ulama dan Umara maka akan baiklah seluruh umat.

 

Patutlah dan patutlah apa yang kita alami ekoran keingkaran kita patuh kepada Nabi, selepas sekian banyak pesanan kasih sayang ditinggalkan Nabi beribu tahun sebelum ianya terjadi.Patutlah pertolongan tidak datang semasa perang Uhud kerana ingkar perintah Nabi, Patutlah sekarang juga tidak datang pertolongan kerana kita sebenarnya tidak mendengar dan mentaati sepenuh hati ajaran Nabi suci Muhammad s.a.w !!!